Tubuh jawatankuasa khas tangani pembinaan rumah ibadat tiada kelulusan

A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu berkaitan pembinaan rumah ibadat yang tidak mendapat kelulusan di Parlimen Iskandar Puteri.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan tersebut diambil selepas pihaknya menerima banyak aduan tentang masalah itu di kawasan tersebut.

“Beberapa kawasan di sekitar Iskandar Puteri telah dikesan mempunyai pembinaan rumah ibadat di lokasi yang tidak sesuai.

“Oleh itu, kita akan keluarkan notis kepada pihak pengurusan rumah ibadat itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, terdapat rumah ibadah yang sudah mempunyai lokasi tetapi tetap dibina di atas tempat yang tidak sesuai.

“Kita akan minta mereka berpindah ke lokasi yang telah ditetapkan.

“Sekiranya kita dapati tiada lokasi yang disediakan, kita akan buat perbincangan lanjut untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.

Dzulkefly berkata, pembinaan rumah ibadat perlu mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan beberapa faktor termasuk jumlah rumah ibadat, komuniti kaum dan sebagainya.

“Buat masa ini jawatankuasa khas ini fokus kawasan Iskandar Puteri dahulu sebelum diperluaskan ke kawasan lain pada masa akan datang,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia