Majoriti diperoleh BN satu kejutan: Anwar

Anwar Ibrahim
A
A

SHAH ALAM - Majoriti undi besar diperoleh calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan satu kejutan, sekali gus mesej jelas kepada seluruh kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada keputusan PRK itu.

“Kita juga harus berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar-dasar yang dibawa PH dengan usaha positif melaksanakan janji-janji.

“Bagi pihak PH, kami menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat keseluruhannya.

“Tahniah kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng di atas kemenangan yang diraih pada PRK Parlimen Tanjung Piai,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: BN rampas semula Parlimen Tanjung Piai

PRK Tanjung Piai menyaksikan Jeck Seng yang merupakan calon BN kembali merampas kerusi Parlimen itu apabila memperoleh 25, 466 undi dengan majoriti 15, 086 undi bagi menewaskan lima pencabar lain.

Calon lain iaitu dari PH yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini memperoleh 10, 380 undi dan calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam dengan 1, 707 undi serta Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Dr Badhrulhisham Abdul Aziz sebanyak 850 undi.

Dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar masing-masing memperoleh 380 serta 32 undi.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.