Karmaine terima pilihan dibuat rakyat

Karmaine (tengah) sempat bermesra dengan pengamal media sewaktu beredar dari Bilik Gerakan Utama PH di Rambah hari ini.
Karmaine (tengah) sempat bermesra dengan pengamal media sewaktu beredar dari Bilik Gerakan Utama PH di Rambah hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini reda dengan pilihan dibuat rakyat Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang diumumkan tadi.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai itu berkata, pihaknya menerima keputusan tersebut walaupun tidak berpihak kepada PH.

"Keputusan sudah ada. Saya rasa saya reda dengan apa yang berlaku.

"Saya rasa orang Tanjung Piai sudah buat pilihan dan kita kena terimalah," katanya kepada media ketika sedang beredar dari bilik operasi utama Pakatan Harapan (PH) di Rambah, di sini malam tadi.

Ditanya mengenai kekalahan teruk beliau kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti undi 15, 086, Karmaine menegaskan, pihaknya akan membuat analisis mengenai kekalahan malam ini.

Karmaine yang kelihatan tenang turut berseloroh dan sempat berswafoto dengan pengamal media yang setia menantinya sejak jam 8.30 malam.

"Selalu-selalulah berhubung semula dengan saya selepas ini ya," ujarnya ringkas kepada lebih 10 pengamal media.

Karmaine bersama empat calon lain termasuk dua calon bebas, tewas kepada Jeck Seng.

ARTIKEL BERKAITAN: BN rampas semula Parlimen Tanjung Piai

Artikel Berkaitan:

Kekalahan besar Karmaine dianggap satu kejutan terhadap PH, lebih-lebih lagi pakatan itu mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam sembilan PRK diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Hari ini, Jeck Seng berjaya memperoleh undi 25, 466 mengatasi Karmaine yang memperolehi 10, 380 undi, Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dengan 1,707 undi dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah) sebanyak 850 undi.

Dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar pula masing-masingnya memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Sebelum ini, keputusan rasmi PRK Parlimen Tanjung Piai itu telah diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir di pusat penjumlahan undi PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini sebentar tadi.

PRK kali ini turut menunjukkan peratusan keluar mengundi lebih 74.5 peratus daripada 52, 471 jumlah pemilih yang berdaftar.

Sebelum ini, kerusi Parlimen berkenaan disandang oleh PH, iaitu Allahyarham Datuk Dr Md Farid Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.