Hikmat pembahagian pusaka

A
A
A

SERING kita baca terdapat golongan yang mendakwa pembahagian pusaka Muslim adalah tidak adil.

Persoalan dilontarkan kenapa waris lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding dengan waris wanita. Secara kasarnya seolah-olah undang-undang faraid itu menafikan peranan dan mendiskriminasikan wanita.

Undang-undang faraid ditohmah sebagai bersifat antiwanita. Lantaran desakan mengkaji semula undang-undang faraid itu agar memberi keadilan kepada golongan wanita dibangkitkan.

Sebenarnya, undang-undang Islam memberi keadilan kepada semua manusia tanpa membezakan gender, warna kulit, bangsa dan sebagainya.

Konsep keadilan dalam Islam mestilah dilihat dari sudut kemampuan undang-undang Islam itu menegakkan keadilan yang dapat dinikmati masyarakat ramai berbanding dengan keadilan yang diberikan dari kaca mata individu tertentu.

Oleh itu, keadilan dalam pengagihan harta faraid tidak semestinya pembahagian dibuat sama rata. Inilah pendekatan yang diambil oleh al-Quran di dalam pembahagian faraid.

Pembahagian harta pusaka Islam ditentukan dalam al-Quran dan ketentuan tersebut adalah bersifat definitif (tetap) yang tidak boleh ditafsirkan selainnya lagi.

Pembahagian jelas tersebut tidak membuka ruang untuk ijtihad melainkan tafsiran yang satu sahaja secara literal ataupun harfiah.

Artikel Berkaitan:

Qiyas atau ijtihad tidak berperanan sebagai sumber bagi menentukan pembahagian undang-undang pusaka Islam.

Hikmah pembahagian itu adalah untuk mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam rumah tangga, masyarakat dan agama. Seorang lelaki umpamanya dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, wanita tidak dipertanggungjawab dengan kewajipan yang sama.

Seorang perempuan pula sudah terjamin keperluannya kerana perempuan tersebut berada di bawah tanggungjawab suami, abang, ayah atau saudara lelakinya. Seorang perempuan juga tidak wajib memberi nafkah kepada sesiapapun walaupun suaminya tidak mampu membayar nafkah. Tanggungjawab itu sebenarnya berpindah kepada ahli keluarga suami.

Tiga perkara yang mana lelaki Muslim wajib menyediakan kepada keluarganya ialah makanan, tempat tinggal dan pakaian. Ketiga-tiga perkara itu perlu disediakan oleh lelaki kepada isteri dan anak-anak serta orang-orang di bawah tanggungannya.

Kewajipan itu tidak terhenti walaupun isteri bekerja mahupun sekiranya gaji isteri lebih besar daripada gaji suami.

Pada zaman sebelum Islam, wanita langsung tidak mempunyai hak ke atas hartanya malah mereka dianggap sebagai harta yang boleh dipusakai oleh ahli keluarga si mati.

Ramai wanita menjadi mangsa dan kehilangan hak dan tempat bergantung apabila suami atau bapa mereka meninggal dunia.

Pembahagian lebih kepada lelaki adalah kerana lelaki bertanggungjawab memelihara kepentingan dan kebajikan wanita. Inilah sebabnya pembahagian harta yang lebih disyariatkan kepada golongan lelaki.

Konsep Islam adalah mudah iaitu di mana ada hak maka di situ ada tanggungjawab bermakna hak lebih besar akan membawa kesan kepada tanggungjawab yang lebih besar juga.

Oleh itu, tidak hairanlah kenapa Islam memperuntukkan hak lelaki lebih dalam undang-undang pusaka. Hak itu sebenarnya mesti juga diiringi tanggungjawab yang besar juga.

Adalah salah jika seorang lelaki itu membelanjakan segala hak pusakanya untuk dirinya seorang sahaja.

Hak itu mestilah dikongsi bersama dengan orang lain seperti adik-beradik perempuan, anak perempuan dan sebagainya.

Dengan cara itu barulah hikmah undang-undang pusaka Islam dapat dimanifestasikan dan dihargai oleh masyarakat Islam dan bukan Islam.

Moga-moga tidak akan kedengaran lagi kata-kata sinis yang mengatakan Islam mendiskriminasi wanita.

Tohmahan itu datang daripada orang jahil dan tidak mahu mencari kebenaran melainkan apa yang mereka fikirkan benar sahaja tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Hikmah pembahagian itu adalah untuk mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam rumah tangga, masyarakat dan agama."

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)