Halal itu berkualiti

A
A
A

MENURUT ajaran Islam, prinsip umum berkenaan makanan ialah semua adalah halal kecuali kotoran atau yang telah bercampur kotoran, memudaratkan dan memabukkan.

Oleh itu, adalah wajib bagi seseorang Muslim memakan makanan yang baik dan menyihatkan serta mengelak semua yang dilarang seperti yang diperintahkan oleh ALLAH SWT.

Jadi, selain mengelak daripada apa yang telah jelas diharamkan dalam al-Quran, umat Islam wajib memastikan keselamatan makanan daripada segi kebersihan, khasiat dan kualiti.

Maka, makanan halal bukan semata-mata kerana ia disembelih oleh orang Islam serta tidak mengandungi unsur-unsur haram, tetapi juga toyyib yang bermaksud baik atau elok. Istilah 'halalan toyyiban’ memberi maksud sesuatu yang halal dan bersifat baik dan elok.

Ada sesetengah pihak mempersendakan atau mempersoalkan mengapa beras sebagai contoh perlu ada sijil halal. Beras pada asalnya halal untuk dimakan tetapi apabila sudah bercampur klorin yang berlebihan ketika proses memutihkan beras tersebut, ia boleh memudaratkan maka ia tidak lagi toyyiban (baik), jadi ia tidak memenuhi syarat halalan toyyiban yang ditetapkan Jakim.

Dalam kes sebegitu, pengilang beras terbabit memang tidak diberi sijil halal.

Berkenaan isu beras tidak halal, mungkin ramai yang masih tidak tahu, pada peringkat penanaman lagi padi disembur racun rumpai, racun ulat dan racun kulat.

Ketika disimpan di dalam kilang atau gudang, ia disembur pula dengan racun untuk elak daripada dimakan tikus atau serangga. Kadar penggunaan racun mungkin melebihi kadar yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Beras yang diimport, sebagai contoh, kebiasaannya lebih banyak mengandungi racun agar tahan lebih lama.

Standard

Bagi memastikan aspek-aspek halalan toyyiban tidak dipandang remeh, Malaysia menetapkan standard makanan halal melalui piawaian MS 1500:2004 Makanan Halal-Pengeluaran, Penyediaan, Pengurusan dan Penstoran-Panduan Umum (Rujukan Pertama).

Piawaian itu diiktiraf di seluruh dunia dan Malaysia dikenali sebagai negara yang meletakkan piawaian yang sangat tinggi dalam proses pensijilan halal. Sebagai sebuah negara Islam, kita bertanggungjawab menegakkan prinsip Islam yang sangat mengambil berat tentang keselamatan produk dan makanan.

Baru-baru ini, saya berpeluang melawat Pusat Sains Halal di Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand. Sebagai negara pengeksport makanan, industri halal menyumbang kira-kira AS$6 bilion setahun iaitu 20 peratus daripada jumlah eksport makanan Thailand.

Pengeluaran makanan halal di Thailand juga bagi memenuhi keperluan kira-kira lima juta pelancong Islam ke Thailand setiap tahun serta 5.4 juta penduduk Islam Thailand sendiri.

Semasa taklimat tentang logo halal, kami dimaklumkan bahawa satu jenama makanan antarabangsa mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan logo halal bagi pasaran di utara Thailand yang majoritinya tidak beragama Islam, demi untuk mengurangkan kos. Syarikat tersebut berpendapat tiada keperluan logo halal bagi makanan yang dipasarkan kepada penduduk bukan Islam.

Namun, jualan mereka merudum dengan teruk sekali. Selepas dua tahun, mereka memutuskan untuk memohon pengiktirafan halal semula. Setelah itu, jualan mereka bertambah baik dan meningkat naik. Rupa-rupanya, bagi mereka yang bukan beragama Islam, logo halal melambangkan Sign of Quality. Berdasarkan rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada 10 orang jatuh sakit setiap tahun akibat memakan makanan tercemar dengan bakteria, virus, parasit atau bahan kimia. WHO menganggarkan terdapat lebih daripada 200 penyakit disebarkan melalui makanan tercemar dan jumlah itu sangat tinggi.

Maka, setiap makanan dan produk yang disahkan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri ialah makanan dan produk yang selamat untuk dimakan dan digunakan bukan sahaja oleh umat Islam tetapi mereka yang bukan beragama Islam.

Dengan adanya logo halal pada sesuatu produk, kita bertambah yakin bahawa produk tersebut selamat dan berkualiti. Yang pasti, halal adalah untuk semua.