X

Kindly register in order to view this article
!

Langgar tradisi parti memalukan: Wanita PKR

Haniza (tengah) memegang bingkai gambar yang tertera logo Wanita PKR sewaktu Majlis Pelancaran Logo Wanita Keadilan di Subang Jaya hari ini.
A
A

SUBANG JAYA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) bukan sahaja didakwa melanggar tradisi parti tetapi tindakan tidak mengikut amalan sedia ada itu juga turut disifatkan 'memalukan'.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haniza Mohd Talha ketika mengulas berhubung isu kongres tahunan sayap PKR Disember depan berkata, tindakan AMK itu bertentangan dengan tradisi apabila memutuskan menjemput Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang sepatutnya perasmian disempurnakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, perasmian juga perlu dilakukan secara serentak antara sayap Wanita PKR dan AMK, namun memberitahu, AMK memutuskan untuk melangsungkan perasmian secara berasingan kali ini.

"Itu AMK yang buat keputusan untuk berpisah. Wanita PKR masih mengamalkan apa yang telah diamalkan sebelum-sebelum ini, sudah 20 tahun kita lakukan perkara ini.

"AMK buat keputusan bertentangan dengan tradisi kongres. Langgar tradisi ini perkara memalukan sehingga pemimpin veteran menegur ambillah timbalan presiden sebagai perasmi sebab itu memang tradisi parti dan membuat (kongres) secara serentak dengan Wanita.

"Wanita dan AMK, sayap yang akan mengukuhkan parti, ada sayap kanan dan kiri. Wanita PKR mahu tradisi dikekalkan sebab ini satu sejarah yang bermula awal pembentukan sehingga sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung isu perasmi Kongres Nasional sayap PKR itu di Melaka, 6 Disember depan, di sebuah hotel, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Pelancaran Logo Wanita Keadilan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi.

Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, selain tradisi, hierarki struktur organisasi parti juga perlu diikuti sambil memberitahu, penasihat parti yang merasmikan kongres bukanlah menjadi amalan PKR.

"Kalau organisasi parti, tiada penasihat, tidak ada jawatan penasihat. Jadi kalau dia (AMK) rasa timbalan presiden tidak beri jawapan dan sebagainya, saya rasa itu bukan isunya, kita masih ada lagi naib presiden.

"Penasihat tidak rasmi kongres, bukan amalan parti. Cuba tanya parti politik yang lain, ada tak penasihat yang rasmi. Tak ada kan?

"Sewaktu perasmian kongres sayap, inilah masa kita hendak dengar orang nombor dua parti berucap kepada sayap dan sayap ini sangat penting sebab ia punyai ahli anggotanya sendiri serta ada peraturannya sendiri," katanya.

Media sebelum ini melaporkan AMK mahu kongresnya dirasmikan oleh Dr Wan Azizah, sementara Wanita PKR kekal dengan tradisi, iaitu kongres sayap dirasmikan timbalan presiden.

Secara tradisinya juga, kongres kedua-dua sayap tersebut sebelum ini diadakan secara serentak dengan majlis perasmian disempurnakan timbalan presiden parti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus