Penduduk dakwa cabul hak pembeli

Najman (dua, kiri) berbincang mengenai status projek sejurus selesai sesi dialog diadakan.
Najman (dua, kiri) berbincang mengenai status projek sejurus selesai sesi dialog diadakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk Seksyen 7 sepakat menolak jajaran transit aliran ringan (LRT3) di kawasan perumahan mereka dan meminta supaya jajaran alternatif dibuat jika kerajaan mahu meneruskan projek tersebut.

Pengurus jualan, Nurzila Jailuddin, 43 berkata, jajaran laluan LRT3 akan menyebabkan satu-satunya taman permainan penduduk terjejas manakala komuter akan melalui hadapan rumah mereka.

"12 tahun lalu saya bayar lebih untuk membeli rumah ini kerana lokasinya berhampiran taman permainan tetapi kini saya kerugian disebabkan projek LRT akan menggunakan kawasan tersebut.. Ia mencabul hak kami sebagai pembeli.

"Dari dulu kami dah bantah jajaran ini dan minta penjajaran semula dengan menghalakan kemudahan itu ke tempat tumpuan seperti Hospital Shah Alam, pusat beli-belah yang lebih memberikan faedah dan menjimatkan kos kepada pengguna. Saya tak faham kenapa mahu masuk kawasan perumahan, kami tak perlukannya," katanya yang menetap di Jalan Plumbum Seksyen 7 di sini.

Beliau meluahkan rasa tidak puas hati semasa sesi dialog pemaju dan penduduk Projek GS06 LRT3, Seksyen 7, hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Zon 3 Majlis Bandaraya Shah Alam, Danial Al- Rashid Haron Aminar Rashid; Wakil MRCB, Mohammad Amjad Faruq Mohammad Haniff dan Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Pengurusi Persatuan Ibu-Bapa dan Guru SJK (T) Ladang Midlands, M Elangovan meluahkan rasa kecewa susulan lokasi jajaran terlalu hampir dengan kawasan sekolah dibimbangi akan menjejaskan sesi pembelajaran murid dan risiko keselamatan.

"Sepatutnya sesi dialog ini diadakan lebih awal sewaktu perancangan projek mahu dimulakan dan bukannya selepas kelulusan diberikan oleh kementerian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Blok 50 Seksyen 7, A Davudars berkata, beliau harap bantahan penduduk menerusi sesi dialog itu dibawa ke Kementerian Pengangkutan dan mendapat maklum balas positif.

"Walaupun pelbagai penjelasan diberikan pemaju, kami sebagai penduduk tetap tidak mahu jajaran ini melalui kawasan kejiranan penduduk kerana bakal menerima kesan ketidakstabilan tanah dan gangguan bunyi serta masalah-masalah lain.

"Kami harap kerajaan utamakan suara penduduk dan mengkaji semula jajarannya walaupun perlu mengambil masa yang lebih lama atau kerjanya rumit asalkan projek tidak mengorbankan penduduk setempat," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar, Komunikasi dan Perhubungan Awam MRCB George Kent Sdn Bhd, Ravindran Raman Kutt menjelaskan, projek tersebut mematuhi prosedur kerja ditetapkan dan dipaparkan untuk makluman awam bagi membolehkan bantahan atau komen dikemukakan.

"Prosedur itu dilakukan antara Mei hingga Ogos 2015 sewaktu jawatankuasa komuniti lama yang kini berubah kepada lantikan baharu. Namun kami akan ambil maklum segala aduan yang dikemukakan penduduk dan menambah baik prasarana serta kerosakan jalan yang terjejas.

"Projek sedang berjalan namun masih di peringkat awal kerja tapak dan masih menunggu maklum balas daripada kementerian untuk sebarang perubahan termasuk penjajaran semula jika perlu," katanya.

Najwan berkata, pihaknya menghantar surat kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bulan lalu untuk pertimbangan semula projek mengambil kira aduan dikemukakan penduduk

"Kami mahukan pembangunan terutama kemudahan awam tapi biarlah setiap projek dijalankan tidak membebankan penduduk hingga mengganggu ketenteraman dan keselamatan mereka.

"Kami menghargai komitmen kerajaan dalam menurunkan projek kemudahan awam untuk rakyat Shah Alam dan sebolehnya projek LRT3 mahu diteruskan namun kita minta supaya penyelesaian terbaik dicapai antara kedua belah pihak demi kebaikan bersama," katanya.