KPKT belum luluskan pemberian AP sisa plastik

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih belum meluluskan sebarang pemberian lesen import (AP) bagi sisa plastik kepada mana-mana syarikat sejak ia dibekukan pada Julai tahun lepas.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun sebelum ini pihaknya menetapkan pemberian AP sisa plastik dihentikan untuk tempoh tiga bulan, sehingga kini kelulusan masih belum diberikan bagi memastikan setiap prosedur baharu yang ditetapkan KPKT dipatuhi pihak industri.

"Sebelum ini, terdapat 114 syarikat mempunyai AP sisa plastik, namun hanya 54 syarikat yang aktif dan daripada jumlah itu hanya lapan betul-betul mematuhi syarat ditetapkan. Sekarang semuanya kena mohon semula AP ikut prosedur dan syarat-syarat baharu.

"Selepas dibekukan dan permohonan untuk AP dibuka semula, hanya 19 syarikat memohon dan pihak saya akan meneliti betul-betul sama ada 19 syarikat ini layak diberi AP sisa plastik itu," katanya kepada pemberita selepas menyerbu sebuah kilang haram didakwa mengitar semula sisa plastik di Kawasan Perindustrian Sungai Petani di sini, malam ini.

Beliau berkata bagi pemilik kilang kitar semula sisa plastik yang beroperasi secara haram pada masa ini, pihaknya memberi peluang kepada mereka untuk segera membuat permohonan AP, namun operasi mereka harus dihentikan segera sehingga mendapat lesen.

"Kalau operasi mereka bertepatan dengan apa kita nak, kita akan luluskan kerana kita tak nak merugikan industri yang berpotensi ini kerana ketika ini, di Malaysia industri ini bernilai RM30 bilion.

"Ataupun pemilik kilang (beroperasi tanpa lesen) boleh mencari cara untuk melupuskan sisa plastik dengan memberikannya kepada syarikat yang ada lesen untuk proses secara sah," kata Zuraida.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memastikan setiap kontena sisa plastik yang masuk ke negara ini mematuhi prosedur serta peraturan baharu berkaitan sisa plastik ditetapkan KPKT.

Artikel Berkaitan:

Pada Julai tahun lepas, KPKT mengumumkan pemberian AP sisa plastik dihentikan untuk tempoh tiga bulan susulan insiden pencemaran serius di Kuala Langat, Selangor yang dikatakan berpunca daripada kilang memproses plastik import secara haram.

Zuraida kemudian dilaporkan berkata pemberian AP bagi sampah plastik akan diteruskan, namun dihadkan kepada syarikat yang layak dan memenuhi syarat kelulusan ditetapkan kementerian itu. - Bernama