Mangsa kemalangan langgar lari meninggal dunia

Mangsa ketika dirawat di ICU HSJ sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
A
A

BUTTERWORTH - Seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kejadian kemalangan langgar lari di Jalan Ong Yo How, di sini, Khamis lalu disahkan meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa Beh Chut Beck@Beh Khye EE, 72, sebelum ini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi Khamis lalu, mangsa menunggang motosikal bersendirian dari Bagan Ajam ke Bagan Lalang dikatakan berlanggar dengan sebuah kenderaan, namun kenderaan terbabit terus meninggalkan tempat kejadian.

Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh ke atas jalan raya dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Selepas tiga hari mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ, pegawai hospital berkenaan memaklumkan yang mangsa telah meninggal dunia pada jam 7.15 pagi tadi.

"Bedah siasat turut dilakukan mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan motosikal," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, pihaknya masih mengesan kenderaan yang terlibat dengan kemalangan terbabit dan meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil memberi maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di talian 04-5741427.

Dalam masa sama, beliau turut menasihati pihak terlibat dalam kemalangan tersebut segera membuat laporan polis kerana menjadi satu kesalahan jika laporan tidak dibuat dalam tempoh 24 jam.