Cuti paterniti: Kerajaan sedia bincang dengan MEF

Dr Wan Azizah menunjukkan beg kolaj tenun benang emas yang diterimanya sebagai cenderahati selepas merasmikan penutup Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX 2019) di Stadium Indera Mulia hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah menunjukkan beg kolaj tenun benang emas yang diterimanya sebagai cenderahati selepas merasmikan penutup Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX 2019) di Stadium Indera Mulia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan sedia berbincang dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berhubung pemberian cuti bersalin (paternity leave) kepada suami yang bekerja di sektor swasta daripada tiga hari yang dipersetujui berbanding tujuh hari disyorkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perbincangan itu bagi mencapai situasi menang-menang agar syor kerajaan itu dapat dipatuhi tanpa memberi kesan produktiviti dalam pekerjaan.

"Jika difikirkan dari segi majikan di satu-satu organisasi, mereka merasakan cuti panjang itu tidak memberikan satu produktiviti yang baik apabila ramai sangat bercuti, ditambah dengan wanita dalam pekerjaan yang cuti bersalin pun sudah ditingkatkan ke 90 hari.

"Dalam perkara ini kita akan bincang bagaimana mereka (MEF) boleh ikut apa yang disyorkan kerajaan, kalau tujuh hari cuti lebih elok untuk bapa-bapa, jika tiga hari mungkin pada permulaan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan MEF baru-baru ini yang hanya bersetuju pemberian cuti bersalin selama tiga hari berturut-turut kepada suami yang bekerja di sektor swasta bukannya tujuh hari seperti dicadangkan kerajaan.

Dr Wan Azizah berkata, langkah kerajaan mencadangkan tempoh cuti lebih panjang adalah untuk menggalakkan golongan ibu bapa terutama pasangan muda baru berkahwin mendapatkan anak.

"Negara kita akan tua jadi kita naklah ramai lagi pasangan yang berkahwin mendapatkan anak.

"Kalau boleh bapanya juga dapat cuti bersalin lebih panjang jadi ini dapat galakkan lebih ramai pasangan muda dapatkan anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini berharap dapat membentangkan kepada Kabinet cadangan penetapan tujuh hari cuti bersalin bagi suami yang bekerja di sektor swasta, menjelang hujung bulan ini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah ditemui pada majlis perasmian penutup Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX’19) yang berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini petang tadi.

Dalam ucapannya, beliau memuji penganjuran PIEX'19 yang dapat menarik lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara untuk mengembangkan perusahaan mereka di samping menggalakkan aktiviti pelancongan.

Katanya, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai yang akan berkuatkuasa tahun depan.

"Perak di bawah pentadbiran kerajaan baharu berjaya mencatatkan jumlah pelaburan cukup memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Menerusi inisiatif dan usaha berterusan yang dijalankan ini, sudah tentunya akan memberi impak dan limpahan kepada aktiviti ekonomi dan pelancongan di negeri Perak dari semasa ke semasa," katanya.

Ekspo yang berlangsung selama empat hari bermula 14 November itu menghimpunkan empat program utama dalam satu lokasi antaranya Dialog Antarabangsa Pangkor, Festival Startup Perak, Pride of Perak (POP) dan Ekspo Halal Antarabangsa Perak (Perak Halal 2019).

Lebih 400 pempamer dari pelabur tempatan dan syarikat luar negara menyertainya antaranya dari China, Hong Kong, Taiwan, Jerman, Sweden, Brazil dan Belgium.