Kembar miliki PhD Kejuruteraan Alam Sekitar

Yoong Lin (kanan) bergambar bersama adiknya Yoong Sin.
Yoong Lin (kanan) bergambar bersama adiknya Yoong Sin.
A
A
A

ARAU - Pasangan kembar yang berusia 30 tahun berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Alam Sekitar sempena Istiadat Konvokesyen ke-14 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Dr Oon Yoong Lin berkata, dia dan adiknya, Dr Oon Yoong Sin saling membantu dalam pengajian masing-masing.

Kata Yoong Sin, adiknya umpama tulang belakang buat dirinya dan mereka sentiasa memberi semangat antara satu sama lain sepanjang perjalanan menghabiskan pengajian.

Pasangan kembar yang berasal dari Kuala Lumpur itu tidak pernah berpisah dan merancang untuk memenuhi cita-cita mereka bersama sebagai penyelidik tenaga alam sekitar.

"Kami merancang menyambung pengajian bagi membolehkan kami bergelar seorang profesor di sebuah universiti awam di China," katanya.

Sementara itu, seorang wanita sarat hamil sembilan bulan turut menerima Ijazah Kedoktoran Kejuruteraan Bahan pada sesi Istiadat Konvokesyen UniMAP.

Shulizawati Aqzna Sazali, 34, yang sedang menunggu hari untuk melahirkan anak ketiganya itu masih bersemangat untuk naik ke pentas.

Menurut Shulizawati Aqzna, dia mengambil masa selama lima tahun untuk menghabiskan pengajian dengan sokongan suami dan ahli keluarga yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Namun dalam tempoh lima tahun berkenaan saya terpaksa berehat selama setahun untuk berpantang ketika melahirkan anak kedua," katanya.

Pada istiadat konvokesyen UniMAP kali ini seramai 3,647 graduan menerima anugerah masing-masing dengan membabitkan lapan sidang yang akan berakhir pada Selasa ini.