Manfaat peranan, kekuatan UPM dalam bidang pertanian

Sultan Sharafuddin berkenan beramah mesra bersama para pelajar cemerlang selepas Istiadat Konvokesyen UPM ke-43 hari ini. -Foto Bernama
Sultan Sharafuddin berkenan beramah mesra bersama para pelajar cemerlang selepas Istiadat Konvokesyen UPM ke-43 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Peranan dan kekuatan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang pertanian perlu dimanfaatkan kerajaan dan masyarakat untuk meningkatkan tahap sara diri negara, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPM bertitah kadar sara diri adalah rendah bagi makanan asas seperti beras, daging lembu, daging kambing, susu, buah-buahan dan sayuran.

"Dengan tindakan mengimport keperluan makanan negara ia turut menjejaskan defisit imbangan perdagangan negara," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-43 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Baginda bertitah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan UPM sangat aktif menjalankan penyelidikan pembangunan bagi menghasilkan inovasi baharu dalam bidang sekuriti dan keselamatan makanan.

"Institusi ini telah berjaya menghasilkan varieti padi baharu seperti Padi U Putra yang memberikan hasil padi 10 tan sehektar dan mempunyai daya ketahanan terhadap faktor persekitaran seperti banjir kilat dan penyakit karah padi.

"Penyelidik UPM juga berjaya menghasilkan formulasi makanan ayam yang bermutu tinggi dari bahan sisa sawit.

"Hasil penyelidikan ini berupaya mengurangkan pergantungan yang tinggi negara dalam pengimportan makanan ayam yang bernilai lebih RM3 bilion setahun," titah baginda.

Sultan Selangor juga bertitah bahawa bidang sekuriti makanan perlu ditingkatkan keupayaan dengan penggunaan teknologi sistem pertanian pintar yang boleh meningkatkan produktiviti sektor pengeluaran makanan.

Artikel Berkaitan:

"Beta ingin menggesa pihak kerajaan, industri dan pakar UPM untuk berganding bahu dan membangunkan bersama secara keutamaan termasuk menyediakan pelaburan atau dana penyelidikan dalam sistem pertanian.

"Teknologi pertanian seperti nanoteknologi, robotik, automasi dan pertanian ketepatan berupaya meningkatkan keupayaan dan daya saing pengusaha sektor pertanian," titah baginda.

Pada istiadat itu juga baginda turut menggesa graduan universiti untuk menyuburkan jiwa kepimpinan dalam diri masing-masing.

"Kejayaan yang diraih bukan sahaja dari segi akademik, tetapi sahsiah juga, bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk generasi akan datang supaya masyarakat madani dapat direalisasikan," titah baginda.

Pada majlis konvokesyen hari ini, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Konvokesyen kali ini melibatkan seramai 6,015 graduan pelbagai pengajian terdiri daripada 632 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), ijazah sarjana (1,554), ijazah sarjana muda (3,337) dan diploma (492). - Bernama