Pengerusi SPR nafi pakai lencana PKR

Tangkap layar gambar dikongsikan Armand di Facebooknya pagi tadi.
Tangkap layar gambar dikongsikan Armand di Facebooknya pagi tadi.
A
A
A

PONTIAN - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan beliau memakai lencana Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa makan malam bersama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memetik laporan portal Malaysiakini, Azhar menegaskan bahawa beliau tidak akan menyokong atau menunjukkan sokongan kepada mana- mana parti politik selagi memegang jawatan Pengerusi SPR.

"Itu adalah satu penipuan jahat," katanya.

Terdahulu gambar Azhar memakai lencana PKR semasa makan malam berkenaan dimuat naik oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Armand Azha di Facebooknya pagi tadi.

Armand sebelum itu dikatakan memuat naik gambar berkenaan dengan menyatakan 'Pengerusi SPR pakai badge Pakatan di zaman Malaysia Baru'.

Ditanya sama ada gambar dirakam sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Azhar berkata, yang pasti gambar tersebut bukan semasa beliau menjadi Pengerusi SPR.

“Tidak sama sekali saya akan buat begitu,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai gambar berkenaan, Azhar berkata, pada Pilihan Raya Umum 2013, beliau menemani bekas Menteri, Allahyarham Jamaluddin Jarjis pada hari penamaan calon.

Artikel Berkaitan:

"Adakah itu juga satu isu? Saya pernah jadi panel pemikir kepada seorang pemimpin kanan UMNO, yang kemudiannya jadi menteri, yang itu pun isu?" soalnya dalam kenyataan dipetik portal yang sama.

Azhar yang sebelum ini merupakan seorang peguam dilantik sebagai Pengerusi SPR pada September tahun lepas.