'Jari belum bertanda tapi nama sudah bergaris'

Tian Soon (kiri) bersama tiga pengundi yangmenunjukan jari mereka yang belum bertanda setelah mendakwa dinafikan hak mengundi pagi tadi.
A
A

PONTIAN - Seramai tiga pengundi di pusat daerah mengundi (PDM) Sekolah Kebangsaan Sungai Boh, Kukup di sini membuat laporan polis susulan dakwaan dinafikan hak mengundi atas alasan kad pengenalan mereka sudah diguna pakai.

Laporan polis ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat ketiga-tiga pengundi itu di Balai Polis Permas, di sini pada jam 12 tengah hari tadi dan ditemani Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon.

Wakil pengundi terbabit, Rihannad Soha, 62, berkata, apabila mereka datang ke pusat pengundian bagi menunaikan tanggungjawab itu tetapi terkejut apabila dimaklumkan pegawai SPR bahawa nama mereka sudah dipotong.

Tian Soon(kiri) bersama tiga pengundi yang membuat laporan polis di Balai Polis Permas, Pontian setelah mendakwa dinafikan hak mengundi pagi tadi.
Tian Soon(kiri) bersama tiga pengundi yang membuat laporan polis di Balai Polis Permas, Pontian setelah mendakwa dinafikan hak mengundi pagi tadi.

Mereka juga mendakwa turut dimaklumkan tidak dibenarkan mengundi kerana kad pengenalan sudah diguna pakai individu lain bagi tujuan mengundi.

"Kami datang untuk mengundi. Bila hantar kad pengenalan...tengok nombor kad pengenalan kami sudah bergaris (merujuk tindakan sudah mengundi).

"Kami mahu hak kami sebagai pengundi...jari kami belum ada tanda kami mengundi. Adakah maknanya ada pengundi hantu?" katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi kepada pengamal media di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, tiga pengundi berkenaan sudah membuat laporan polis berkaitan perkara itu.

Menurutnya, MCA menuntut penjelasan SPR mengenainya dan kesal kes seperti itu masih berlaku walaupun pilihan raya kecil (PRK) sudah diadakan sebanyak sembilan kali.

"Ini PRK kesembilan, mengapa masih berlaku perkara sebegini?

"Adakah pengundi hantu ganti pengundi di sini? Saya mahu penjelasan SPR dan meminta mereka jangan bersikap berat sebelah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.