Gemuruh tiga kali lafaz akad nikah

Zulkifli bersama pasangannya diraikan pada majlis hari ini.
Zulkifli bersama pasangannya diraikan pada majlis hari ini.
A
A
A

PEKAN - Tidak dapat menahan air mata, tangisan lelaki OKU dalam busana perkahwinan ini menggamit perasaan hadirin, ketika diraikan dalam majlis persandingan Gerbang Perkahwinan di dewan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), di sini, hari ini.

Anton Kakhtiar, 24, yang berasal dari Sabah selamat diijabkabul dengan pasangannya Noor Aina Nazihah Mohd Alshokre, 18, dari Kampung Padang Polo, di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi, dengan tiga kali lafaz.

"Saya berdebar dan gemuruh sampai tiga kali lafaz. Baru sah. Alhamdulillah, impian untuk mendirikan rumah tangga dengan gadis idaman, jadi kenyataan.

"Terlalu banyak ujian yang kami tempuhi untuk tiba ke hari ini dan disatukan sebagai suami isteri. Apa yang penting kami sama-sama dapat menempuhinya dan akan melalui alam rumah tangga di masa akan datang dengan penuh tanggungjawab," katanya, yang merupakan OKU fizikal, bahagian tangan dan kaki.

Gerbang Perkahwinan merupakan acara perkahwinan beramai-ramai membabitkan 10 pasangan anjuran Empire D' Butik Lavida Magica.

Sementara itu, Aina Nazihah yang jelita mengenakan gaun songket ungu hampir menitiskan air mata, disisi suaminya.

"Kami gembira dan rasa berbaloi dengan nilai RM3,000 yang dibayar untuk majlis ini. Ibu bapa suami tinggal di Sulawesi manakala beliau bekerja di Klang. Selepas ini kami akan tinggal di Klang.

"Sudah lima tahun kami berkenalan. Akhirnya impian kami bergelar suami isteri tercapai. Terima kasih kepada keluarga dan semua yang mendoakan kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Zulkifli Othman, 27, dari Kuala Pahang, dia bersyukur disatukan dengan pasangannya Norsaeara Zulkifli, 28, dari Kampung Parit Tengah.

"Enam bulan perkenalan akhirnya kami ke jinjang pelamin dalam majlis yang meriah. Alhamdulillah," katanya.

Anton dan Aina gembira diijabkabul.
Anton dan Aina gembira diijabkabul.

Sementara itu penganjur Ahmad Azriman Shah berkata, pihaknya bertanggungjawab menguruskan semua aktiviti sepanjang program seperti persalinan, solekan, fotografi, profesional henna, baca nikah, jamuan dan persandingan.

Menurutnya, setiap pasangan pengantin hanya perlu membayar RM3,000 bagi menyertai majlis perkahwinan yang pertama kali diadakan secara beramai-ramai di daerah ini.

"Saya berpuas hati dengan perjalanan majlis yang mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk keluarga pengantin, majlis bermula sembilan pagi berakhir enam kemudian.

"Kalau nak ikutkan saya menambah lagi RM7,000 bagi membantu menjimatkan perbelanjaan pasangan yang ingin mendirikan tangga," katanya yang mengusahakan butik di daerah ini.