Isu kad pengenalan, serah pada SPR: Muhyiddin

Muhyiddin (kanan) sewaktu sidang media di IPD Pontian hari ini.
Muhyiddin (kanan) sewaktu sidang media di IPD Pontian hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat dakwaan pemimpin Barisan Nasional (BN) berhubung tiga pemilih tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Beliau memaklumkan tidak tahu-menahu kes yang didakwa berlaku disebabkan kad pengenalan ketiga-tiganya diguna pakai pihak tertentu berkata, perkara tersebut perlu disahkan SPR.

"Itu saya tidak tahu. Saya bukan pegawai SPR.

"Apapun terserah kepada SPR untuk mengesahkan ya atau tidak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa terdapat tiga pengundi di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Boh, Kukup terkejut mendapati mereka tidak dibenarkan mengundi oleh SPR.

Menurutnya dalam laman Twitter, kedua-dua pengundi itu dimaklumkan SPR bahawa kad pengenalan mereka sudah diguna pakai untuk tujuan pengundian.

Sehubungan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Permas, tengah hari tadi.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut berpesan kepada semua penyokong calon-calon bertanding PRK Parlimen Tanjung Piai agar tidak membuat sebarang provokasi sepanjang hari pengundian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, insiden seorang lelaki memakai plakad kuning di badan pagi tadi sehingga mencetuskan sedikit kekecohan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Yu Ming, Pekan Nanas bukan perkara luar biasa yang perlu dibimbangkan.

"Biasalah dalam setiap pilihan raya kecil, setiap parti hendak tunjuk semangat masing-masing bekerja, cuma jangan buat provokasi pihak lain kerana ia sesuatu yang harus dielakkan bagi memastikan pengundi tidak takut keluar mengundi," katanya.

Dalam kejadian pagi tadi, seorang lelaki memakai plakad berwarna kuning difahamkan bertulis 'PH janji kosong' bertindak melintasi kumpulan penyokong PH sehingga mengundang kemarahan mereka.