Cuti paterniti: Kementerian Sumber Manusia bincang dengan MEF

M Kula Segaran -Foto Bernama KULA SEGARAN
A
A

IPOH - Kementerian Sumber Manusia mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berhubung permohonan cuti paterniti tujuh hari bagi sektor swasta sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, perbincangan dengan pemegang taruh dilakukan untuk mengambil kira pelbagai pandangan dan cadangan sebelum ia dibawa ke Kabinet selewat-lewatnya bulan depan.

Katanya, MEF bersetuju dengan pelaksanaan cuti paterniti itu tetapi mereka meletakkan syarat supaya sekiranya ia dilaksanakan pembayaran gaji semasa tempoh cuti berkenaan perlu dibayar oleh kerajaan.

"Bukan mudah untuk menukar cuti paterniti. Kita menerima banyak rintihan dan bantahan kerana sesetengah pihak mahukan cuti paterniti dan ada pihak yang tidak bersetuju dengan cuti berkenaan.

"Pada zaman sekarang, kebanyakan bayi yang baharu lahir sering dilanda penyakit kuning dan ia memerlukan penjagaan rapi oleh ibu bapa selain urusan pendaftaran bayi memerlukan beberapa prosedur yang perlu diikuti dan ini semua memerlukan masa," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Startup Festival 2019 bersempena Ekspo Antarabangsa Perak 2019 di sini hari ini.

Rabu lepas, Kula Segaran berkata pihaknya bercadang membentangkan permohonan bagi cuti paterniti kepada Kabinet kerana selama 62 tahun lepas, cuti paterniti tidak diberi perhatian dan ini merupakan langkah awal ke arah perubahan yang lebih baik.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, cadangan cuti paterniti selama tujuh hari bagi sektor swasta dapat menangani masalah kemurungan dalam kalangan ibu selepas bersalin atau 'meroyan'.

"Selepas bersalin ada satu keadaan yang dikenal pasti sebagai ’postpartum’, jadi sebab itu diadakan cuti bersalin lebih panjang, dan dengan adanya cuti paterniti selama tujuh hari, ibu mendapat sokongan yang baik.

"Ia bertujuan membantu ibu yang baru bersalin untuk menangani stres selepas bersalin untuk menjaga badannya sendiri dan bayi dalam keadaan suasana yang berlainan," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian ‘Somatom Definiton Edge CT Scanner and Hospital Clinical Outcome’ di KPJ Ipoh Specialist Hospital di sini hari ini.

Laman Facebook dan Twitter Kementerian Kesihatan semalam memuat naik mengenai tanda kemurungan selepas bersalin yang berlaku ketika tempoh berpantang kerana perubahan hormon dan faktor persekitaran.

Terdahulu Boon Chye melancarkan mesin imbasan tomografi berkomputer (CT Scanner) terbaharu yang digunakan di KPJ Ipoh Specialist Hospital sejak Julai lepas, sekali gus menjadi hospital tunggal di Perak yang memiliki alat pengimbas kesihatan terbaharu dan paling canggih.

"Alat ini membolehkan pesakit diimbas dengan lebih cepat dengan radiasi lebih rendah dengan penggunaan 'contrast media' sekali gus mengurangkan kesan sampingan kepada pesakit berbanding CT scanner yang lama," katanya.

Beliau turut menyarankan semua hospital terutamanya swasta supaya mewujudkan data mengenai rawatan di premis masing-masing secara dalam talian seperti yang diperkenalkan Hospital KPJ Ipoh untuk diakses orang ramai supaya memudahkan pelanggan memperoleh maklumat. - Bernama