Yapiem santuni B40, agih bantuan makanan

Antara penerima yang menerima sumbangan Food Bank pada program Food Bank YaPEIM 1.0 bertempat di Dewan Persatuan Penduduk Perumahan Sri Kota di sini hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - [VIDEO] Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menyahut seruan negara rahmah dengan menyampaikan sumbangan di 17 kawasan PPRT Bandar Tun Razak di sini.

Pengarah Kanan Pengurusan Dana Infaq dan Pembangunan Sosio Ekonomi Yapiem, Mohammad Zamri Zakaria berkata, sumbangan disampaikan berupa barangan keperluan harian.

"Kita menyampaikan makanan asas iaitu makanan kering kepada penduduk di kawasan ini yang mana diagihkan kepada 17 kawasan. Setiap kawasan terbahagi kepada 28 penerima.

"Agihan ini kita menyasarkan kepada golongan B40 yang mana mendapat kerjasama daripada Gabungan Penduduk Perumahan Awam dan PPRT Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program food bank Yapeim 1.0 di Dewan Persatuan Penduduk Perumahan Sri Kota di sini hari ini.

Katanya, program itu diadakan bagi menyahut dan memenuhi gagasan rahmah iaitu pentadbiran Islam persekutuan pada hari ini.

"Yapeim sebagai sebuah badan yang mempunyai tabung amanah yang mana disumbangkan orang ramai, kita melaksanakan amal jariah dengan agihkan dan sampaikan dalam bentuk food bank ini.

"Selain itu dengan program yang diadakan ini, kita juga dapat turun ke lapangan selain beramah mesra bersama dengan penerima," katanya.

Menurutnya, program itu merupakan pertama kali diadakan pihak Yapeim di Kuala Lumpur.

"Bagi Kuala Lumpur ini pertama kali diadakan manakala di negeri lain sudah beberapa kali, bagi program pengagihan food bank ini, kita mempunyai 78 lokasi yang akan diagihkan.

"Insya-ALLAH, selain tempat ini ada beberapa lagi tempat lain yang mana akan berlangsung bermula hari ini sehingga April tahun hadapan," katanya.