X

Kindly register in order to view this article
!

Keluarkan hukuman cubaan bunuh diri dari Kanun Keseksaan

Boon Chye (tiga dari kanan) berucap ketika merasmikan ‘Walk The Talk Malaysia World Mental Health Day’ bertemakan pencegahan bunuh diri di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) berharap Jabatan Peguam Negara dapat melengkapkan segera kajian untuk mengeluarkan hukuman cubaan bunuh diri dari Kanun Keseksaan.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, faktor pesakit bertindak cuba bunuh diri adalah disebabkan kemurungan atau tekanan yang memerlukan rawatan dan ia bukanlah satu jenayah.

“Peruntukan Seksyen 309 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau didenda atau kedua-duanya.

“Difahamkan seksyen tersebut dalam kajian Jabatan Peguam Negara dan kita berharap ia dapat dikeluarkan dari peruntukan jenayah kerana pesakit ini perlu dirujuk ke pakar psikiatri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Walk The Talk Malaysia World Mental Health Day’ bertemakan pencegahan bunuh diri di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Menurutnya, satu pangkalan data lengkap membabitkan cubaan bunuh diri dan bunuh diri juga dapat dibangunkan sekiranya peruntukan undang-undang dapat dikeluarkan.

“Kita tidak mempunyai pangkalan data melainkan kes-kes yang dipaparkan media. Statistik dalam tempoh lima tahun mencatatkan 365 kes maut akibat bunuh diri. Berikutan ia suatu jenayah, kes-kes sebegini kurang dilaporkan.

“Sekiranya mahu pangkalan data yang lengkap, kita harus anggap kes-kes ini suatu penyakit dan bukannya jenayah. Ia suatu pendekatan yang lebih baik,” katanya.

Boon Chye berkata, penglibatan komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu mencegah cubaan buruh diri terutama dalam kalangan remaja.

“Trend penglibatan remaja dilihat mula meningkat. Kelaziman kadar percubaan bunuh diri mereka berusia 13 hingga 17 tahun adalah 6.9 peratus, 7.3 peratus mempunyai perancangan dan 10 peratus pula mempunyai idea untuk mencuba.

“Fahami tanda-tanda kemurungan seperti tidak selera makan, tiada mood dan sebagainya agar intervensi awal dapat diberikan. Kemurungan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus