Subahan, Shamala kekal jawatan Konfederasi Hoki Malaysia

Foto: Malaysian Hockey Confederation
Foto: Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyandang, Datuk Seri Subahan Kamal dan Prof Datuk Dr S Shamala masing-masing diumumkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden (Wanita), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi penggal 2019-2023 setelah menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MHC ke-66 di sebuah hotel di Seri Kembangan di sini hari ini.

Kejayaan kedua-dua individu berkenaan menyaksikan mereka mempertahankan jawatan masing-masing buat penggal kedua berturut-turut setelah dipilih buat julung kalinya pada penggal 2015/2018.

Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra Bipin Chandra pula dipilih sebagai Timbalan Presiden (Lelaki) MHC setelah pencabarnya iaitu Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengambil keputusan menarik diri pada saat-saat akhir.

Sebagai rekod, Subahan sah menang tanpa bertanding pada 6 November lepas setelah mendapat 13 pencalonan manakala pencabarnya iaitu Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun sekadar mendapat dua pencalonan sekali gus tidak layak untuk bertanding jawatan berkenaan yang mensyaratkan calon terlibat untuk sekurang-kurangnya mendapat minimum tiga pencalonan.

Keputusan pemilihan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Etika MHC, Datuk T Thavalingam selepas berakhirnya proses pemilihan yang diadakan bersempena mesyuarat berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: