Lelaki pakai plakad 'PH janji kosong' bikin kecoh

Lelaki yang memakai plakad yang mencetuskan kekecohan di hadapan pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yu Ming. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Lelaki yang memakai plakad yang mencetuskan kekecohan di hadapan pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yu Ming. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - [VIDEO] Seorang lelaki memakai plakad berwarna kuning di badannya mencetuskan kontroversi apabila cuba membuat provokasi ke atas penyokong Pakatan Harapan (PH) di hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pagi tadi.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi di hadapan pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming, Pekan Nanas di sini.

Sinar Harian difahamkan terdapat seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dengan sengaja melintasi kawasan penyokong PH yang berada lebih 50 meter dari hadapan kawasan pengundian itu.

Difahamkan, lelaki berkenaan memakai plakad bertulis 'PH janji kosong' dan tindakannya melintasi kumpulan penyokong PH mengundang kemarahan mereka.

Beberapa individu daripada kumpulan penyokong PH berkenaan kemudiannya mengejar lelaki itu dan memintanya menanggalkan plakad dipakai pada badan, namun enggan dituruti.

"Saya rakyat Malaysia, saya punya suka mau pakai apa," kata lelaki itu kepada penyokong PH berkenaan.

Lelaki berkenaan kemudiannya terus berjalan melintasi kumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) pada jarak 20 meter dari kawasan kumpulan penyokong PH sebelum diberi sorakan oleh mereka.

Bagaimanapun, terdapat tiga anggota polis kemudiannya mengejar lelaki terbabit dan mengarahkannya membuka plakad berkenaan kerana bersifat provokasi dan boleh mencetuskan ketegangan.

Artikel Berkaitan:

Beberapa anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya turut memberi amaran kepada lelaki itu atas tindakan provokasi dibuat dan memintanya beredar.

Keadaan kembali tenang setelah sekumpulan anggota polis hadir untuk mengawal keadaan.