47 peratus keluar mengundi setakat jam 12 tengah hari

Pengundi orang kurang upaya (OKU), Zulkifli Sadiman, 56, (kanan) dibantu bapanya Sadiman Mortomo, 81, (tengah) untuk mengundi di saliran satu bagi PRK Tanjung Piai di SMK Dato' Mohd Yunus Sulaiman, Pekan Nanas hari ini. - Foto Bernama
Pengundi orang kurang upaya (OKU), Zulkifli Sadiman, 56, (kanan) dibantu bapanya Sadiman Mortomo, 81, (tengah) untuk mengundi di saliran satu bagi PRK Tanjung Piai di SMK Dato' Mohd Yunus Sulaiman, Pekan Nanas hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Sebanyak 47 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 12 tengah hari ini, empat jam setelah semua 27 pusat mengundi dengan 125 saluran dibuka tepat jam 8 pagi tadi.

Proses pengundian yang akan berlangsung sehingga jam 5.30 petang ini melibatkan 52,471 pemilih berdaftar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada jumlah itu akan keluar mengundi hari ini.

Dua daripada enam calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen itu, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, 66, dan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck, 55, selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kerang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1 & 2 seawal jam 8.05 pagi tadi.

Sementara itu empat calon lain yang bertanding merupakan pengundi berdaftar di luar Parlimen Tanjung Piai.

Sejak awal pagi, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dilihat meninjau perjalanan pilihan raya kecil itu di empat lokasi pusat mengundi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, SJKC Cheow Min, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup dan SJKC Pei Chiao.

Selain itu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dilihat meninjau proses pengundian di beberapa pusat mengundi lain seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunian, SMK Sri Kukup, SJKC Bin Chong dan SJKC Yu Ming 1 & 2.

Di SK Serkat, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilihat antara orang kenamaan yang turut menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Dari segi cuaca, sepanjang pagi tadi, cuaca baik hampir di keseluruhan kawasan pusat mengundi dengan beberapa kawasan dilihat mendung.

Artikel Berkaitan:

Semalam Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung pada waktu pagi manakala ribut petir di kawasan Parlimen Tanjung Piai pada sebelah petang nanti.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru yang turut melibatkan calon Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, calon Gerakan, Wendy Subramaniam dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. - Bernama