12 ladang di Negeri Sembilan gagal sedia bekalan air bersih

S Veerapan
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 12 daripada 133 ladang swasta di negeri ini gagal menyediakan bekalan air bersih kepada pekerja masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, setiap majikan wajib menyediakan bekalan air percuma yang mencukupi dan sesuai untuk diminum kepada pekerja ladang yang mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kementerian Kesihatan.

“Daripada 133 ladang swasta yang didaftarkan di negeri ini, 116 ladang atau 87.2 peratus menyediakan bekalan air dari pembekalan air awam manakala 17 ladang atau 12.8 peratus membekalkan air secara persendirian.

"Manakala 12 ladang pula dikesan tidak mematuhi piawaian ditetapkan terutama kandungan klorin yang dibimbangi boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti kolera, typhoid dan disenteri,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ia tertakluk mengikut Akta 446 Seksyen 6 (1)(a) Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Beliau berkata, bekalan air yang disediakan pula perlu dituras dan diproses mengikut cara yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Tenaga Kerja, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Saya berharap semua pengurusan ladang swasta mengambil langkah dan tindakan segera supaya kesihatan pekerja terjamin dari segi keperluan asas seperti air bersih dan selamat,” katanya.