PRK Tanjung Piai berjalan lancar

Proses mengundi berjalan lancar dengan bantuan petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Proses mengundi berjalan lancar dengan bantuan petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PEKAN NANAS - Setelah tempoh berkempen selama 14 hari berakhir semalam, kini tiba hari membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng bersama isteri, Datin Seri Lim Joo Hon tiba di Pusat Pengundian SJK (C) Yu Ming 1 & 2, Pekan Nanas pada jam 7.30 pagi tadi.

Jeck Seng sempat bertemu orang ramai sebelum membuang undi di pusat mengundi berkenaan.

Jeck Seng bersama isteri, Joo Hoon menunjukkan jari mereka yang telah dicelup sebagai menunaikan tanggungjawab mengundi pada Hari Mengundi PRK Tanjung Piai hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Jeck Seng bersama isteri, Joo Hoon menunjukkan jari mereka yang telah dicelup sebagai menunaikan tanggungjawab mengundi pada Hari Mengundi PRK Tanjung Piai hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Setakat ini, proses mengundi berjalan lancar dengan bantuan petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini termasuk lorong khas serta kemudahan kerusi roda yang disediakan untuk pengundi dalam kategori orang kurang upaya (OKU).

Kemudahan kerusi roda turut disediakan untuk pengundi kurang upaya. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Kemudahan kerusi roda turut disediakan untuk pengundi kurang upaya. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Rata-rata pengundi di SJK (C) Yu Ming 1 & 2, berpuas hati dengan kelancaran proses mengundi di pusat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Bagi M Kogilla, 59, dia berbangga kerana menjadi pengundi pertama yang mengundi hari ini.

"Saya datang ke sini dalam jam 6 lebih dan dapat undi dengan cepat.

"Sekarang saya dah undi dan nak balik, kepada yang datang mengundi jalan baik-baik," katanya.

Kogilla membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Ming. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Kogilla membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Ming. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Johari Jamhari, 43, pula menasihatkan agar pengundi dapat keluar lebih awal untuk mengundi bagi mengelakkan kesesakan.

"Alhamdulillah, saya dah selesai mengundi. Kepada yang di luar sana diharapkan untuk segera datang mengundi," katanya.

Sementara itu seorang lagi pengundi, Haslinda Katni, 39, berharap semua pengundi dapat berhati-hati di jalan raya.

"Pandu dengan tenang dan jangan tergopoh gapah. Selamat mengundi kepada semua dan diharapkan agar dapat membuat pilihan yang tepat untuk negara kita," katanya.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu, Karmaine Sardini; calon BN dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan calon Gerakan, Wendy Subramaniam.

Turut bertanding Presiden Berjasa, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas) dengan majoriti 524 undi.