'Habis dijual dalam masa 15 minit'

'Al-Quran Amazing Edisi Khas Dato' Rizalman' yang boleh dibeli melalui laman web www.karangkrafmall.com bermula jam 10 pagi semalam habis dijual dalam masa 15 minit sahaja.
'Al-Quran Amazing Edisi Khas Dato' Rizalman' yang boleh dibeli melalui laman web www.karangkrafmall.com bermula jam 10 pagi semalam habis dijual dalam masa 15 minit sahaja.
A
A
A

SHAH ALAM - Dalam masa 15 minit, 'Al-Quran Amazing Edisi Khas Dato' Rizalman' yang boleh dibeli melalui laman web www.karangkrafmall.com bermula jam 10 pagi semalam habis dijual.

Menampilkan reka bentuk eksklusif diinspirasikan sendiri oleh pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim, al-Quran yang mempunyai 1,264 muka surat itu berkulit keemasan dengan tulisan biru metalik selain penanda al-Quran yang juga berwarna keemasan.

Kesemua hasil jualan 'Al-Quran Amazing Edisi Khas Dato' Rizalman' yang dicetak eksklusif terhad 1,500 naskhah itu akan disalurkan sepenuhnya kepada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) selaku pelopor Malaysia Quran Hour dan Rumah Ngaji.

Pengurus Besar Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Nor Akma Abdul Majid berkata, 'tsunami' penjualan al-Quran edisi khas tersebut bukan sekadar mencipta sejarah tersendiri tetapi juga cukup bermakna serta mempunyai nilai estetika buat Rizalman khususnya dalam perjalanan mencari bekalan saham akhirat untuk 'ke sana' kelak.

"Perancangan kolaborasi kali pertama ini bermula sekitar Ogos lalu dan usaha ini salah satu bentuk tanggungjawab sosial korporat kerana kesemua hasil jualan 'Al-Quran Amazing Edisi Khas Dato' Rizalman' disalurkan kepada badan WUI bagi memartabatkan al-Quran serta memperkasakan ummah.

"Kita juga tidak menyangka kesemua naskhah terjual dalam jangka masa begini cepat apatah lagi pembelian hanya boleh dilakukan di laman web www.karangkrafmall.com, tiada urusan pembelian menerusi 'walk-in' di outlet Karangkraf Mall ataupun aplikasi WhatsApp Karangkraf Mall.

"Pembelian pula terhad kepada dua naskhah sahaja bagi setiap pelanggan atau transaksi. Kami rasa berbesar hati dan berterima kasih kepada beliau (Rizalman) atas kolaborasi ini serta semua pembeli 'Al-Quran Amazing Edisi Khas Dato' Rizalman," katanya.

Sementara itu antara keistimewaan 'Al-Quran Amazing Edisi Khas Dato' Rizalman' berukuran 21.3cm x 30.3cm terbitan Karya Bestari dari Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) itu ialah penulisannya mengikut resam Uthmani terjemahan dalam bahasa Melayu, merangkumi tujuh pembahagian utama iaitu Ibadah, Muamalah, Akidah, Sirah Nabawi, Kisah Nabi dan Rasul, Asmaul Husna dan Terapi Qurani.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kaedah tajwid berwarna berserta panduan Waqaf & Ibtida’, terjemahan tafsiriyah (per kata) bagi setiap kalimah, terdapat pelbagai tafsir antaranya Tafsir Jalalain, Tafsir At-Tabari, Tafsir Ibnu Kathir, Riyadus Salihin, Hadith Al-Arbain, Syamail Muhammadiyyah, Hadis Qudsi, Sirah Nabawi, doa- doa Asmaul Husna dan Asbabun Nuzul.

Al-Quran edisi khas berharga RM135 senaskhah itu juga disemak dan diluluskan oleh Lajnah Tasheh Al-Quran Kementerian Dalam Negeri.