Martabatkan Bahasa Melayu di universiti: Awang Sariyan

Dr Awang Sariyan menyampaikan hujahnya sambil disaksikan oleh Khairul Hafez Yunus@Hamid selaku moderator semasa Forum Bahasa Jiwa Bangsa bertajuk Perpaduan Bangsa Melalui Bahasa Kebangsaan di Perbadanan Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Awang Sariyan menyampaikan hujahnya sambil disaksikan oleh Khairul Hafez Yunus@Hamid selaku moderator semasa Forum Bahasa Jiwa Bangsa bertajuk Perpaduan Bangsa Melalui Bahasa Kebangsaan di Perbadanan Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

PUTRAJAYA - Universiti di negara ini perlu memartabatkan Bahasa Melayu dalam aspek pengajaran dan pembelajaran bagi menjamin bahasa kebangsaan itu tidak terpinggir susulan perubahan zaman, kata Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Sariyan.

Beliau yang juga Penyandang Kursi Za’ba Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, Bahasa Melayu akan berhadapan cabaran besar jika universiti selaku gedung ilmu tidak menghargai peranan besar bahasa itu dalam memberi nilai ilmu kepada masyarakat.

Menurutnya, universiti kini terlalu mengejar kedudukan dan penarafan antarabangsa hingga menyaksikan Bahasa Inggeris mengambil tempat dalam penghasilan jurnal atau kajian ilmiah bagi dinilai pihak terbabit.

"Apabila universiti mula mengangkat Bahasa Inggeris sebagai bahasa akademik untuk tujuan dinilai, ia tanpa sedar telah merendahkan nilai Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sedangkan penarafan yang dikejar itu diberikan oleh syarikat yang berasaskan keuntungan," katanya ketika menjadi panel pada forum Bahasa Jiwa Bangsa di sini hari ini.

Forum anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Perbadanan Putrajaya itu menampilkan tema ‘Perpaduan Bangsa Melalui Bahasa Kebangsaan’ diadakan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.

Awang berkata, walaupun universiti merupakan sektor yang paling ampuh untuk memartabatkan Bahasa Melayu namun kelebihan itu disia-siakan apabila pentadbirnya lebih mengutamakan Bahasa Inggeris, sekali gus mengurangkan minat serta keyakinan pelajar dan pensyarah untuk menjadikannya sebagai bahasa utama akademik.

"Pada saya itu tidak betul, Bahasa Melayu bukan masalah tetapi masalahnya kepada kita sendiri selaku pengguna sama ada yakin atau tidak untuk menggunakannya sebagai bahasa akademik di universiti," katanya.

Bekas Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Sarjit Singh Darshan Singh yang juga ahli panel forum itu berkata, penggunaan Bahasa Inggeris untuk mengejar kedudukan dan penarafan antarabangsa memberi kesan kepada keupayaan Bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin itu antara inisiatif universiti bagi menarik lebih ramai pelajar asing tetapi pihak universiti juga perlu menunjukkan dengan jelas usaha untuk memajukan Bahasa Melayu, bukan sahaja kepada orang kita tetapi juga kepada pelajar antarabangsa.

"Di sinilah wujudnya kelompangan yang perlu diberi perhatian khusus oleh pihak universiti dan Kementerian Pendidikan," katanya.- Bernama