Suhakam kutuk serangan pejabat ICHR di Gaza

Kenyataan akhbar Suhakam
Kenyataan akhbar Suhakam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengutuk serangan peluru berpandu ke atas pejabat Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Palestin (ICHR) di Gaza yang turut mencederakan seorang pegawainya, Selasa lalu.

Menurut Suhakam dalam satu kenyataan hari ini, serangan kejam itu merupakan pelanggaran terhadap Perkara 3, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang menyatakan bahawa setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.

"Hak kepada nyawa merupakan teras kepada hak asasi manusia yang tidak boleh kompromi walaupun dalam situasi kecemasan seperti peperangan dan hak ini tidak boleh dihadkan.

"Serangan terhadap ICHR juga boleh dilihat sebagai pelanggaran Perisytiharan Pembela Hak Asasi Manusia PBB kerana tugas mereka melindungi hak-hak rakyat Palestin tidak boleh dihalang dengan tindakan keganasan dan intimidasi," katanya.

Kata kenyataan itu, hak asasi manusia sering dicabuli dan dilanggar semasa konflik bersenjata berlaku dan orang awam seringkali menderita akibat konflik sebegini.

Sehubungan itu, Suhakam menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan bagi melindungi mereka yang tinggal di dalam kawasan konflik agar hak asasi mereka dapat dipelihara.

Terdahulu, agensi berita Turki Anadolu melaporkan sekurang-kurangnya 32 rakyat Palestin terkorban dalam serangan dua hari oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza.

Ketegangan memuncak di Gaza pada awal kelmarin selepas satu serangan udara Israel membunuh Bahaa Abu Al-Atta, seorang komander kanan kumpulan Jihad Islam Palestin dan isterinya, Asmaa.

Artikel Berkaitan:

Pesawat perang Israel turut melancarkan serangan udara yang menyasarkan pemimpin Jihad Islam, Akram Al-Ajouri, di ibu kota Syria iaitu Damsyik.