Ragbi Piala Agong: PDRM selesa status bukan pilihan berdepan Sabah

Antara aksi menarik pertemuan PDRM Pahang sebelum ini. Foto kredit: AZLEY KASSIM
Antara aksi menarik pertemuan PDRM Pahang sebelum ini. Foto kredit: AZLEY KASSIM
A
A
A

PENGENDALI Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Mazuri Salehuddin menyifatkan pasukan itu lebih selesa dengan status bukan pilihan apabila berdepan juara bertahan Sabah pada aksi suku akhir saingan Ragbi Piala Agong di Padang A Universiti Putra Malaysia (UPM), petang esok.

"Kami lebih selesa dengan status underdog. Kali terakhir menentang Sabah adalah pada tahun 2014 di mana kami tewas pada saat saat akhir. Jadi peluang ini akan kami gunakan untuk membalas dendam kekalahan tersebut.

"Menentang juara bertahan bukanlah sesuatu yang mudah namun kami percaya, kami boleh dan mampu melakukan kejutan pada petang Sabtu ini," katanya.

Pada masa sama Mazuri mengakui PDRM memanfaatkan tempoh rehat hampir sebulan sebelum saingan suku akhir bermula dengan mengadakan sesi latihan sebanyak dua kali sehari.

"Kami juga menyertai pertandingan Cobra 10s minggu lalu bagi memberi 'game time' kepada pemain pemain-pemain PDRM di samping memberi pendedahan beraksi menentang pemain antarabangsa dari New Zealand, Australia dan Afrika Selatan yang kebanyakan lebih kuat dan pantas.

"Segala kelemahan-kelemahan yang kami kesan sepanjang kejohanan itu kami perbaiki minggu ini dan insya-ALLAH kami akan menampilkan permainan terbaik semasa aksi menentang Sabah," katanya.

Pada masa sama Mazuri menasihati pemain-pemain PDRM supaya mempercayai kebolehan masing-masing apatah lagi mereka sudah berada pada peringkat suku akhir.

"Pemain perlu percaya kepada kebolehan diri masing-masing dan bersatu hati dengan rakan sepasukan yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Ragbi bukanlah permainan individual. Setiap pemain mempunyai peranan dan tugas tersendiri. Tanggungjawab itu perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Saya juga menasihatkan mereka agar mengambil peluang ini (menewaskan Sabah) dan mencipta sejarah untuk PDRM untuk layak ke separuh akhir selepas sepi dari persada ragbi tanah air untuk sekian lama," katanya.

Mengenai tahap kecergasan pemain Mazuri berkata, pada masa ini pemain-pemain PDRM bebas masalah kecederaan sudah bersedia memberi tentangan sengit kepada pasukan dari Kepulauan Borneo berkenaan.

RAGBI PIALA AGONG

Suku Akhir

16 November (Sabtu)

Kelantan lwn Kedah

(Padang A UPM, 2 ptg)

Sabah lwn PDRM

(Padang A UPM, 4 ptg)

PDRM mara ke peringkat lapan terbaik selepas menjinakkan Pahang.Foto kredit: AZLEY KASSIM
PDRM mara ke peringkat lapan terbaik selepas menjinakkan Pahang.Foto kredit: AZLEY KASSIM