'Tak pakai topi keledar, langgar lampu merah'

Tangkapan layar video yang menunjukkan dua remaja yang tidak memakai topi keledar dihentam sebuah kereta selepas melanggar lampu isyarat di kawasan tersebut
A
A

KUBANG PARIT - Video kemalangan melibatkan dua remaja yang membonceng motosikal dengan sebuah kereta dalam kejadian kira-kira 2.13 petang tadi mengundang kecaman daripada netizen.

Perkongsian video yang dimuat naik oleh kumpulan Info Kemalangan & Bencana Malaysia menunjukkan penunggang motosikal bersama dengan seorang pembonceng yang tidak memakai topi keledar dilihat melanggar lampu isyarat.

Mereka kemudiannya dirempuh kuat oleh sebuah kereta yang berada di arah sebelah kiri jalan motosikal tersebut namun tiada maklumat lanjut tentang keadaan mangsa selepas dirempuh oleh kereta tersebut.

Namun, seorang pengguna Facebook menggunakan nama Nadya Shafiq Damya yang mendakwa ahli keluarga mangsa yang berada dalam kereta berkenaan memaklumkan mereka tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Alhamdulillah, yang terlibat kemalangan tadi keluarga saya. Syukur adik-beradik saya selamat. Semoga adik yang membawa motosikal juga selamat," tulisnya.

Video yang berdurasi 30 saat itu kini tular di media sosial yang meraih 19,000 tontonan dan rata-rata netizen mengutuk tindakan yang dilakukan oleh penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan.

Kacang Buncis Ori pula berkata,"Maaflah cakap ya, tak kesian langsung dekat dia tapi kesian dekat keluarga yang tunggu dia balik. Dah jelas tak bertanggungjawab abaikan keselamatan diri dan orang lain. Jabatan Pengangkutan Jalan, sila jalankan siasatan,".