X

Kindly register in order to view this article
!

Atok dijel 30 tahun, 14 sebatan amang seksual tiga cucu tiri

A
A

KLANG - Seorang waraga emas dihukum penjara 30 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga cucu tirinya yang berusia 6, 8 dan 9 tahun bermula Ogos hingga Oktober lalu.

Hakim, Datin Kunasundary Marimuthu menjatuhkan hukuman selepas tertuduh yang berusia 62 tahun itu mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu yang dikenali sebagai atok oleh kesemua mangsa didapati melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 8 tahun 5 bulan di dua lokasi berasingan iaitu di bilik stor salah sebuah sekolah kebangsaan dan Lorong Manggis di Pelabuhan Klang antara jam 1 petang hingga 11.59 malam.

Sementara pertuduhan ketiga dan keempat, dia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sekolah berkenaan didapati melakukan amang seksual dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa persetujuan terhadap kanak-kanak yang berusia 9 tahun pada jam 8 malam di lokasi dan tarikh yang sama.

Dia juga didapati bersalah terhadap dua kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 6 tahun 6 bulan pada jam 8 malam hingga 2 pagi Ogos lalu dan 2 hingga 6.59 petang bulan lepas.

Bagi kesalahan persetubuhan bertentangan aturan tabii, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta boleh dihukum dengan sebatan.

Bagi lima pertuduhan lain, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan bagi setiap pertuduhan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasifulkhair Mohd Jamaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan hukuman berjalan berasingan melainkan hukuman penjara pertuduhan ketiga serentak dengan pertuduhan pertama.

Lelaki itu juga diperintah di bawah Seksyen 26 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 untuk rawatan kaunseling dan perintah pengawasan polis selama dua tahun di bawah Seksyen 27 Akta yang sama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus