PRK Tanjung Piai dipenuhi kontroversi, sentimen perkauman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PONTIAN - Setelah dua minggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berjalan dengan penuh warna-warni, hari ini tiba masa penentuan bagi mengetahui siapa pemenang mutlak.

PADA 2 November lalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pertandingan enam penjuru di mana calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini,66; bakal dicabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Wee Jeck Seng,55; calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam,38; dan calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Ir Badrulhisham Abdul Aziz,55.

Sepertimana PRK terdahulu, sudah lumrah terdapat dua calon Bebas bertanding dengan PRK kali ini diwarnai calon memakai logo kunci, Dr Ang Chuan Lock,49 dan calon mewakili Gabungan Teksi SeMalaysia(GTSM), Faridah Aryani Abdul Ghaffar,43.

Kesemua calon bertanding pastinya membawa visi dan objektif perjuangan tersendiri demi meraih sokongan pengundi Parlimen Tanjung Piai berjumlah 52,471 orang merangkumi dua Dewan Undangan Negeri (DUN), Pekan Nanas dan Kukup.

Bagi Karmaine, objektif perjuangan pastinya meneruskan kesinambungan prestasi cemerlang ditunjukkan bekas penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Md Farid Md Rafik dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

Namun sekiranya rakyat menghargai jasa bekas wakil rakyat mereka, pasti Karmaine dilihat mempunyai kelebihan mengekalkan kerusi Parlimen milik PH pada PRK kali ini.

Bagi Jeck Seng yang mewakili BN dan MCA pula, pertandingan PRK kali ini memberi makna sangat besar, bukan sahaja dalam menentukan kelangsungan parti MCA yang kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Bahkan, Jeck Seng turut berdepan situasi getir menentukan sama ada formula gabungan Muafakat Nasional antara Pas dan BN diterima rakyat terutama di kawasan pengundi campuran seperti Parlimen Tanjung Piai.

Artikel Berkaitan:

Tanggapan awal Jeck Seng bakal diboikot pengundi tegar UMNO dan Pas meleset, sebaliknya ceramah atau program kempen PRK dihadiri calon MCA sentiasa penuh dengan kehadiran penduduk Melayu setempat.

Calon Berjasa, Ir Badrulhisham dan calon Gerakan, Wendy pula dilihat cuba meraih sokongan pengundi setempat dengan membawa agenda berbeza, mewujudkan kerajaan Melayu Islam manakala Gerakan membawa agenda menjadi suara ketiga rakyat.

Agenda perjuangan dua calon Bebas, Chuan Lock dan Faridah Aryani pula lebih bersifat 'people essentric' apabila Chuan Lock yang mengusahakan beberapa pusat tuisyen di sini memperjuangkan usaha menaik taraf kualiti pendidikan negara.

Manakala Faridah Aryani bercita-cita mahu memperjuangkan kebajikan golongan berpendapatan rendah B40 terutama dalam kalangan pembantu teksi dan e-hailing.

Keseluruhan kempen pilihan raya sepanjang dua minggu ini berjalan lancar tanpa suasana tegang.

Meskipun laporan SPR mendedahkan 91 kes kesalahan berkaitan kempen pilihan raya, 31 kes laporan polis dan tiga kes laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicatatkan, kesemua calon dilihat masih mengekalkan etika berkempen dengan setiap penyokong masing-masing tidak menimbulkan kekacauan.

Permulaan kempen PRK menyaksikan tindakan beberapa menteri PH mengumumkan pelbagai peruntukan pembangunan kepada penduduk Parlimen Tanjung Piai dipertikaikan pemimpin BN menganggapnya rasuah politik.

Bagaimanapun dakwaan itu disangkal menteri-menteri berkenaan yang menjelaskan kesemua peruntukan itu sudah diluluskan sewaktu Allahyarham Md Farid masih lagi berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Selain itu ucapan pertama kali Karmaine dalam satu program ceramah PH selepas hari pencalonan dibidas susulan kenyataannya meminta masyarakat peneroka Felda bersyukur meskipun harga kelapa sawit rendah.

Pada masa sama video tular ucapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub didakwa berbaur rasis dalam satu pertemuan tertutup di sebuah sekolah di Kukup turut menjadi perhatian.

Dari sudut BN pula, langkah pencalonan Jeck Seng sebagai calon kaum Cina menjadi modal pemimpin PH dan Berjasa mempersoalkan komitmen UMNO dan Pas dalam melaksanakan agenda Muafakat Nasional yang dimeterai Oktober lalu.

Calon Berjasa, Ir Badrulhisham mendakwa UMNO diugut oleh MCA agar menyokong pencalonan Jeck Seng sekali gus menyuarakan kebimbangan kerjasama Muafakat Nasional tidak dapat bertahan sebelum tiba PRU15.

Pada pertengahan kempen PRK, beberapa isu menarik timbul apabila MCA membuat laporan polis terhadap Karmaine yang didakwa mengedarkan kad sim percuma kepada pengundi dalam program kempen PRK.

Di samping itu, pendedahan klip video tular mengaitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dikatakan mengadu terpaksa bersendirian menghadapi 'puak-puak' DAP turut menjadi perhatian.

Isu klip video itu didakwa mendedahkan terdapat keretakan hubungan parti-parti dalam PH, bagaimanapun ianya dinafikan pemimpin PH yang menegaskan hubungan pakatan itu masih utuh.

Selain itu kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berjanji melantik Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong sebagai wakil masyarakat Cina di Parlimen Tanjung Piai bagi sekiranya Karmaine menang juga mengejutkan banyak pihak.

Pemimpin-pemimpin BN mendakwa tawaran itu cuba merendah-rendahkan kemampuan Karmaine untuk menjaga masyarakat Cina, tetapi PH menyangkalnya dan menganggap cadangan itu bukan satu masalah.

Suasana kempen PRK sepanjang dua minggu menyaksikan ceramah anjuran BN dilihat lebih menarik perhatian pengundi berbanding ceramah PH.

Dalam satu program ceramah di Pontian, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui terkejut dengan kehadiran pengundi Cina ke program itu dan menyifatkan keadaan itu seperti ceramah DAP sebelum PRU14.

Program ceramah berkelompok BN di kawasan majoriti Melayu terutama DUN Kukup juga sering dipenuhi penduduk setempat, meskipun terdapat ura-ura mereka mahu boikot Jeck Seng.

Kemuncaknya, program ceramah perdana BN di Rimba Terjun di sini dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri lebih 3,000 orang.

Namun begitu, pada tempoh pengakhiran kempen, PH dilihat mula mengorak langkah, bermula dengan ceramah dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diikuti ceramah perdana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihadiri lebih 5,000 orang.

Dari aspek calon lain, keputusan Faridah Aryani mula turun berkempen pada tempoh seminggu terakhir dan Chuan Lock sekadar berkempen menggunakan platform media sosial menerima reaksi berbeza penduduk setempat.

Bagi calon Berjasa dan Gerakan, dakwaan kedua-dua parti itu dibiayai Amanah dan PH untuk memecahkan undi calon BN juga menjadi perdebatan, namun dinafikan kedua-dua parti berkenaan.

Perjalanan kempen PRK turut dihangatkan dengan isu permohonan permit kempen rumah ke rumah yang menjadi pertikaian hampir kesemua calon bertanding kerana dianggap terlalu menekan mereka.

Keseluruhannya kempen PRK kali ini dipenuhi pelbagai isu dan kontroversi membabitkan calon dan parti bertanding, baik daripada PH dan BN mahupun empat parti lain termasuk dua calon bebas.

Sentimen perkauman dan keagamaan dilihat turut menjadi pilihan utama calon parti-parti bertanding untuk menyerang lawan mereka selain mendapatkan kelebihan sokongan pada segmen kaum tertentu.

Bagaimanapun pengundi Parlimen Tanjung Piai meliputi 57 peratus pengundi Melayu, 42 peratus pengundi Cina dan 1 peratus pengundi India diyakini sudah membuat keputusan muktamad dalam memilih wakil rakyat terbaik untuk mereka.

Soal sama ada pendekatan kempen diaplikasi setiap calon benar-benar menyentuh hati penduduk Parlimen Tanjung Piai akan terjawab pada hari esok.

Perkara paling penting, kesemua pengundi diharapkan keluar mengundi lebih awal dan menggunakan sepenuhnya hak mereka sebagai pengundi untuk memilih calon yang benar-benar mampu memberi perkhidmatan kepada mereka.