Amanah kuatkan 'serangan' pecah kubu Pas di Kedah

Adly (enam dari kiri) bersama kepimpinan Amanah Kedah selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kedah 2019 di Alor Setar hari ini. Turut kelihatan Dr Ismail (lima dari kiri) dan Mahfuz (lima dari kanan).
Adly (enam dari kiri) bersama kepimpinan Amanah Kedah selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kedah 2019 di Alor Setar hari ini. Turut kelihatan Dr Ismail (lima dari kiri) dan Mahfuz (lima dari kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - [VIDEO] Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah mengakui Pakatan Harapan (PH) akan menghadapi laluan yang sukar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini selepas Pas dan UMNO bergabung.

Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pihaknya ada dua pilihan sahaja selepas ini sama ada memilih untuk bersikap pesimis ataupun optimis.

Menurutnya, perkembangan politik di Malaysia dan di Kedah secara khususnya pada hari ini memaksa parti mengubah strategi yang perlu diambil bagi berdepan lawan pada PRU15.

"Merujuk kepada data undi popular Kedah bagi PRU14 dan deklarasi kerjasama Pas dan UMNO bagi PRU15 yang akan datang maka, strategi yang terbaik untuk memenangi PRU akan datang adalah dengan cara 'menyerang' pihak lawan bagi memecahkan kubu mereka.

"Jangan lupa yang strategi 'menyerang' jugalah yang telah memenangkan PH di Felda pada PRU14," katanya pada ucaptama Konvensyen Amanah Kedah 2019 di sebuah hotel hari ini.

Dr Ismail berkata, Amanah perlu menyerang bertubi-tubi iaitu turun padang di kawasan pembangkang dengan pelbagai aktiviti untuk meraih sokongan, berbekalkan dengan fakta, penjelasan, kebajikan dan akhlak yang mulia.

Jelasnya, bagi mengekalkan kemenangan pada PRU15 di negeri ini, pihaknya mesti memecahkan kubu Pas.

"Strategi kita mesti lebih agresif daripada strategi PH Nasional namun berbeza dengan Kelantan dan Terengganu kerana di Kedah kita ialah kerajaan yang memerintah. Strategi Kedah mesti unik.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakini pendekatan perjuangan yang parti Amanah ambil lebih baik dan boleh menarik rakyat Malaysia dan umat Islam untuk bersama dengan kita. Pendekatan secara inklusif, amanah, progresif dan peduli," katanya.

Mengulas lebih lanjut pada sidang akhbar, Dr Ismail berkata, apabila Pas dan UMNO bergabung, maka parti-parti dalam PH tidak boleh lagi bergerak dengan cara biasa.

"Kita tidak boleh lagi 'berjalan' tetapi 'berlari' dan 'melompat' ke depan, itulah maksud saya. 'Berlari' dan 'melompat' ini perlulah dengan minda kelas pertama.

"Mesti mempunyai motivasi yang tinggi, bekerja bersungguh-sungguh, mempunyai perancangan, mempunyai indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan perkara ini dipantau dari semasa ke semasa. Jadi jika kita bergerak seperti dulu dengan mengharapkan kemenangan, saya rasa sukar," katanya.

Konvensyen tersebut dirasmikan Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Turut hadir Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar.