Dr Mahathir akan rasmi kongres minyak sawit terbesar dunia

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan merasmikan kongres minyak sawit terbesar dunia, Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan berlangsung dari 19 hingga 21 November ini.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata Dr Mahathir turut dijadualkan menyampaikan ucaptama di acara itu.

“Perdana menteri sentiasa menjadi penyokong kuat kepada industri minyak sawit, dan kami memberi penghormatan kepada beliau untuk merasmikan PIPOC 2019 yang bertemakan ‘Balancing Sustainability Pillars’ (Mengimbangi Tonggak Kemampanan).

“Saya percaya kehadiran Dr Mahathir semasa acara itu akan memberi isyarat tepat bagi pembangunan industri ini dan sekali gus pastinya meningkatkan kepentingan PIPOC 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Parveez berkata, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim pula akan menyampaikan ucapan alu-aluan untuk memulakan acara antarabangsa selama tiga hari itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

“PIPOC 2019 akan membincangkan aspek penting pengeluaran minyak sawit secara mampan, iaitu melibatkan bumi ini, rakyat dan keuntungan, dengan menumpukan penyelidikan terkini dan amalan dalam industri minyak sawit,” katanya.

PIPOC kali ini dijangka dihadiri lebih 7,000 peserta, terutama penyelidik, ahli akademik, penggubal dasar serta pakar industri dari seluruh dunia.

PIPOC juga mengetengahkan lima persidangan yang akan diadakan serentak melibatkan pertanian, bioteknologi dan kemampanan; kimia, teknologi pemprosesan dan biotenaga; oleo dan kimia khusus; ekonomi global dan pemasaran; serta makanan, kesihatan dan nutrisi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu pameran dengan lebih 400 gerai yang mempamerkan kecanggihan industri yang baharu, lawatan teknikal serta kejohanan golf turut diadakan. - Bernama