Majlis Tahfiz Negara ditubuh Mac tahun depan: Fuziah

Fuziah menyampaikan Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2019 kepada Mohd Roslan Mohd Saludin.
Fuziah menyampaikan Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2019 kepada Mohd Roslan Mohd Saludin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh memaklumkan Majlis Tahfiz Negara dijangka ditubuhkan pada Mac tahun depan.

Menurutnya, perancangan penubuhan majlis tersebut telah dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) untuk diputuskan.

“Majlis Tahfiz Negara saya difahamkan akan dibawa ke peringkat keputusan MKI dan akan ditubuhkan pada Mac 2020.

“Ada perancangan dalam penubuhannya dan perkembangan terbaru, ia akan ditubuhkan pada Mac tahun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2019M di sini semalam.

Sebelum ini Fuziah menjelaskan Majlis Tahfiz Negara bakal ditubuhkan tahun depan begitupun beliau tidak menyatakan tarikh rasmi penubuhannya.

Menurutnya, penubuhan majlis itu bagi membolehkan usaha menyelaras sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri dilaksanakan secara berkesan dan untuk itu, kerajaan juga akan meminda Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan).

Jelasnya, penubuhan majlis itu selari penggubalan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara berpandukan lima teras, iaitu memantapkan aspek undang-undang dan penguatkuasaan, selain memperkenalkan modul institusi yang diiktiraf.

Dalam pada itu, Fuziah berterusan mengingatkan ibu bapa supaya memeriksa pendaftaran sekolah tahfiz sebelum menghantar anak mereka ke pusat pengajian itu.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan kalau nak paksa sekolah tahfiz agak sukar kerana ia tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Jadi ibu bapa boleh mainkan peranan bantu kami, teliti dan siasat dulu sebelum hantar anak ke sekolah tahfiz.

“Pastikan sekolah tahfiz itu berdaftar kerana memang ada pusat tahfiz yang cemerlang. Kita pohon ibu bapa sama-sama siasat. Jangan jadikan sekolah itu tempat untuk lepaskan tanggungjawab,” katanya.