20 kontena kacang tanah RM1.7 juta dirampas

Maqis menahan 20 kontena dalam pemeriksaan terbabit.
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pelabuhan Klang Selatan merampas 20 kontena berisi kacang tanah yang dianggarkan bernilai RM1.7 juta.

Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kontena-kontena itu dibawa dari India ke Pelabuhan Klang Selatan yang dijadikan sebagai pusat transit.

Tarmisal berkata, setiap perbuatan transit keluaran pertanian perlu mendapatkan kebenaran bertulis yang sah dari Ketua Pengarah Maqis dan pihak yang gagal memenuhi peraturan itu boleh dikenakan kompaun sekiranya didapati bersalah.

"Pemeriksaan kami mendapati pihak terbabit tidak mendapatkan surat kebenaran transit dari Ketua Pengarah Maqis untuk menghantar kontena itu ke Indonesia.

Antara barangan rampasan menerusi peneriksaan itu.
Antara barangan rampasan menerusi peneriksaan itu.

"Tindakan kompaun di bawah Peraturan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia P.U (A) 116, Peraturan 11 (4) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)(Transit) boleh dikenakan sekiranya mereka didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tarmisal, pihaknya memandang serius perkara ini dan sentiasa komited bagi memastikan setiap konsainan yang masuk dan keluar bebas dari serangga serta sebarang kemungkinan penyakit.