575,292 warga Bangladesh pemegang PLKS

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) telah mengenal pasti seramai 575,292 pekerja warga Bangladesh yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan masih aktif di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, selain itu terdapat sejumlah 4,908 warga Bangladesh secara keseluruhan yang memegang pas di bawah kategori ekspatriat.

"Bagi warga Bangladesh dan mana-mana warga asing yang tidak pulang ke negara asal selepas tamat tempoh pas yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Jika terbukti salah, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Pertubuhan Keselamatan Dalam Negeri Warga Asing yang mendakwa hampir 70 peratus pekerja warga Bangladesh yang bekerja di negara ini tidak pulang semula kerana dibebani hutang di negara asal mereka.

Beliau berkata, Imigresen juga telah menahan seramai 29,251 warga Bangladesh atas pelbagai kesalahan sejak Januari 2017 hingga November tahun ini.

Katanya, Imigresen sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau aduan daripada mana-mana pihak berhubung perkara berkenaan.

"Kita minta supaya pihak pertubuhan untuk menyalurkan terus maklumat kepada imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: