Apa salahnya kenyataan TMJ, soal Puad Zarkashi

Puad
Puad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak melakukan kesalahan apabila kerap menegur pimpinan kerajaan sejak kebelakangan ini.

Beliau turut mempersoalkan apakah kesalahan baginda sehingga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengungkit mengatakan Tunku Ismail belum lahir ketika konsep Persekutuan diperkenalkan.

“TMJ cuma kata jangan mempolitikkan isu. Fokuslah pada pentadbiran negara. Betul pun, banyak lagi janji belum ditunaikan.

“TMJ dengan terang menyatakan dia bersedia menjadi ‘public enemy number one’ (musuh rakyat) kerana dia hanya mahu menjadi ‘check and balance’ (semak dan imbang) kepada Kerajaan.

“Di mana salahnya pendirian sedemikian. TMJ tidak sebut pun bahawa Kerajaan Pusat tidak boleh komen apa juga kenyataan atau pendirian kerajaan negeri,” katanya dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Dalam status sama, Mohd Puad turut mendakwa Ahli Parlimen Langkawi itu mahu menggagalkan kerjasama Umno - Pas.

“Apabila Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) jumpa Tun M, Pas dijanjikan royalti minyak untuk Kelantan dan Terengganu.

“Mungkin Tun M mahu menggagalkan kerjasama Umno-Pas yang semakin mesra. Oleh kerana Tun M lahir ketika Federalisme dibentuk, maka tunaikanlah janji royalti tersebut dengan segera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Dr Mahathir mendakwa Tunku Ismail tidak memahami konsep Persekutuan berikutan kritikan baginda terhadap kerajaan PH.

Menurutnya, Tunku Ismail belum dilahirkan ketika Persekutuan diwujudkan.

“Baginda tidak faham Persekutuan. Mungkin sebab baginda masih belum dilahirkan ketika itu tetapi saya sudah dilahirkan pada waktu itu.

“Persekutuan bermaksud ia mempunyai kuasa ke atas seluruh negara dan kita tidak boleh berkata ini dan itu tidak boleh dilakukan,” katanya.