1,341 anggota polis bertugas hari mengundi esok

Mustafa pada sidang media di IPD Pontian semalam.
Mustafa pada sidang media di IPD Pontian semalam.
A
A
A

PONTIAN - Seramai 1,341pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan kawalan lalu lintas pada hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok.

Ketua Polis Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, pihak polis akan memastikan hari pengundian esok berjalan lancar dengan keseluruhan 52,471 pengundi yang akan membuang undi di 125 saluran mengundi melibatkan 27 pusat mengundi.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran trafik di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Pontian, sebanyak tiga jalan akan ditutup iaitu Jalan Othman, Jalan Ismail dan Jalan Salleh bermula jam 8 pagi hingga selesai pengiraan undi.

"Laluan alternatif disediakan iaitu di Jalan Bakek, Jalan Alsagoff dan Jalan Parit Mesjid. Orang ramai diminta mematuhi arahan diberikan anggota trafik yang bertugas esok bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

"Penutupan tiga jalan itu dilakukan bagi memastikan tiada gangguan sepanjang pengiraan undi dilakukan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Pontian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Pontian di sini hari ini.

Sementara itu, Mustafa berkata, sebanyak 879 permit kempen dikeluarkan polis sejak mula tempoh berkempen pada 2 November sehingga semalam membabitkan 382 untuk Barisan Nasional (BN), selain Pakatan Harapan (158 permit). Gerakan (129 permit), Berjasa (190 permit) dan Bebas (20 permit).

"Sebanyak 35 laporan berkaitan PRK Parlimen Tanjung Piai bermula dari penamaan calon pada 2 November hingga semalam.

"Sebanyak lima kertas siasatan dibuka iaitu dua kertas siasatan di Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan tiga lagi mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini kertas siasatan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dibuka melibatkan seorang pemimpin yang berunsur hasutan ketika memberi ceramah baru-baru ini dan satu lagi kertas siasatan dibuka semalam terhadap kes kain rentang berunsur provokasi.