Dakwaan BMF turunkan harga barang tidak berasas: KPDNHEP

Muez - Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menolak dakwaan bahawa kempen Buy Muslim First (BMF) telah dapat mengurangkan harga barang.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Muez Abd Aziz berkata, dakwaan seumpama itu tidak berasas kerana harga barang dan produk adalah berdasarkan kepada tawaran oleh pengilang, pembekal serta peruncit.

Beliau berkata demikian sebagai membalas dakwaan Ahli Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi yang dilaporkan berkata bahawa kempen BMF telah menurunkan harga barang secara drastik.

Muez berkata, pengilang, pembekal dan peruncit memberikan diskaun mengikut tempoh tertentu di pasar raya atau premis perniagaan, menyebabkan sesuatu produk yang ditawarkan itu menjadi lebih murah.

"Ia juga bergantung kepada inisiatif dan kempen jualan oleh pihak peruncit dalam bersaing sesama mereka untuk menarik perhatian pengguna," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Muez berkata, kementerian juga tidak bercadang mengubah atau memasukkan BMF dalam kempen Beli Barangan Malaysia yang dijalankan sejak 1984.

Beliau menyifatkan cadangan BMF dibuat secara umum dan kementerian melihat promosi produk tempatan lebih penting selain turut menawarkan harga yang berpatutan.

"Kalau ada sekalipun (BMF), ia sudah ada dalam Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. Pihak kami sedang bekerja keras untuk mempromosikan kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

"Kita berpegang kepada itu sahaja. Kita hanya promosikan barangan tempatan dan ia lebih penting,” katanya. - Bernama