Isu permit kempen rumah ke rumah jejas kredibiliti SPR

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengenakan syarat permit untuk kempen rumah ke rumah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai disifatkan telah menjejaskan kredibiliti SPR sebagai badan bebas dalam mengendalikan pilihan raya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan kenyataan terbaharu daripada Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa kempen rumah ke rumah tidak memerlukan permit.

Menurutnya, sebelum ini Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun masih berdolak dalih dengan menolak tanggungjawab tersebut kepada polis sedangkan semua maklum bahawa sewaktu pilihan raya, peraturan perjalanan pilihan raya ditentukan oleh SPR.

"Tindakan SPR benar-benar telah mengganggu perjalanan pilihan raya kerana peraturan baru tersebut telah mengelirukan dan menyukarkan petugas-petugas pilihan raya.

"Malah ramai yang telah memberhentikan tugas kerana takut dengan arahan peraturan baru tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, tindakan pantas pembangkang menentang dan menolak peraturan tersebut sehingga akhirnya mendapat reaksi Peguam Negara membuktikan desakan berkesan daripada pembangkang yang sepakat menyatakan bahawa peraturan tersebut jelas bertentangan dengan Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Blok pembangkang mengemukakan usul di dalam Dewan Rakyat walaupun ditolak oleh Speaker di dalam kamar.

"Namun Peguam Negara akhirnya 'menyekolahkan' Pengerusi SPR dan Ketua Polis Johor bahawa tindakan mereka adalah salah dan menyalahi Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Artikel Berkaitan:

"Sekali lagi kerajaan PH tunduk kepada blok pembangkang apabila Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa kempen rumah ke rumah tidak memerlukan permit," katanya.

Justeru tambah beliau, keadaan itu membuktikan bahawa rakyat perlukan pembangkang yang kuat di Parlimen supaya kerajaan tidak boleh membuat keputusan sesuka hati yang menyusahkan rakyat.

"Oleh itu pengundi Tanjung Piai perlu memberikan isyarat yang jelas kepada kerajaan PH dengan memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Dr Wee Jeck Seng," katanya.