Kelantan belum laksana had operasi kedai makan sehingga 12 malam

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menafikan telah melaksanakan penguatkuasaan terhadap pengusaha kedai makan yang beroperasi melebihi 12 tengah malam di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia belum dilaksanakan kerana menunggu laporan lengkap daripada pihak terlibat termasuk mengadakan perbincangan dengan pengusaha kedai makan mengenai penguatkuasaan itu.

Ini katanya, bagi memastikan cadangan itu dilaksanakan dengan cara yang terbaik dan dapat diterima oleh semua pihak.

"Cadangan penguatkuasaan itu bermula pada 2020, itu pun setelah kami mendapat laporan lengkap berhubung beberapa perkara penting seperti jumlah kedai beroperasi, kaedah mereka beroperasi dan sebagainya.

"Semua perkara itu dalam perhatian dan penyelidikan kami, jika ada pihak yang menyebarkan maklumat bahawa kami telah melaksanakan penguatkuasa undang-undang ia tidak benar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tahnik Perdana Peringkat Negeri Kelantan hari ini.

Pada program itu seramai 300 bayi di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan menyertai majlis tahnik yang diadakan di Dewan Grandara, Kampung Pendek di sini.

Ahmad mengulas mengenai penularan beberapa gambar penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu menyaman beberapa premis menjual makanan yang beroperasi melepasi pukul 12 tengah malam baru-baru ini.

Sebelum ini kerajaan Kelantan dilaporkan akan mengehadkan operasi kedai makan, warung, atau restoran sehingga jam 12 tengah malam bagi mengatasi masalah gejala sosial dalam kalangan anak muda di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad dalam pada masa sama menasihatkan supaya rakyat negeri itu merujuk kepada PBT bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan pelaksanaan cadangan itu. - Bernama