X

Kindly register in order to view this article
!

PACBE platform perkasa, latih usahawan wanita

pacbe
SAIDATU AKHMA menunjukkan antara produk yang dihasilkan peserta PACBE di pejabat JPW, bangunan KPWKM Putrajaya baru-baru ini. Foto: Rosli Talib
A
A

LEBIH ramai wanita khususnya dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) disaran menyertai bidang perkhidmatan dan pembuatan produk bagi memperkasakan kemahiran mereka.

Itu yang dizahirkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini berhasrat melihat golongan tersebut terbabit dalam aktiviti ekonomi tidak formal itu, sekali gus membuka peluang mereka terlibat dalam pasaran buruh.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan, penglibatan kaum hawa dalam masa sama membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), kita menyediakan program Pusat Cakna Bangun Ekonomi (PACBE) yang merangkumi bengkel, kursus atau latihan.

"Diharapkan menerusi program seumpama ini secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah pelantikan wanita sebagai pembuat keputusan dalam organisasi dan syarikat-syarikat korporat," jelas beliau pada bulan lalu.

Persoalannya, apakah kelebihan dan manfaat PACBE sehingga ia dilihat sebagai platform terbaik untuk memperkasakan dan kesejahteraan golongan wanita di negara ini?

Ikuti wawancara khas, wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF bersama Ketua Pengarah JPW, Datuk Saidatu Akhma Hassan di KPWKM, Putrajaya baru-baru ini.

1. Boleh Datuk huraikan lebih lanjut defi nisi PACBE yang merupakan inisiatif baharu kendalian JPW?

SAIDATU AKHMA: Sebelum ini, JPW telah melaksanakan pelbagai program dalam konteks untuk membangunkan golongan wanita. Justeru, selepas diperhalusi dengan teliti, maka sudah tiba masanya semua program terbabit disusun semula dan diletakkan di bawah satu program khusus.

Inisiatif tersebut adalah untuk memudahkan pihak JPW membantu memperkasakan kumpulan sasar. Mereka terdiri daripada golongan B40, ibu tunggal dan wanita yang ingin memajukan diri.

Bertitik tolak daripada itu, JPW mewujudkan satu pusat dikenali sebagai PACBE yang merangkumi program peningkatan kemahiran dan keusahawanan serta memberi pendedahan mengenai psiko pendidikan kepada golongan wanita. Setiap program dilaksanakan berpandukan modul khas yang telah dibangunkan selari dengan peredaran semasa.

2. Apakah kelebihan dan signifi kan PACBE terhadap golongan wanita di negara ini?

SAIDATU AKHMA: Matlamat utama PACBE adalah untuk memberi peluang kepada kumpulan sasar menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan kemahiran yang bermanfaat.

Impaknya, mereka dapat mengenal pasti kapasiti dan kelebihan diri yang mungkin selama ini tidak digilap seperti menjahit, memasak ataupun menghasilkan produk kraftangan.

Ilmu kemahiran yang diperoleh itu seterusnya digunakan pula untuk menjana pendapatan bagi membantu meningkatkan pendapatan peribadi dan keluarga.

Secara tidak langsung, kita dapat mengurangkan kadar pengangguran negara. Selain itu, PACBE juga merupakan platform terbaik buat wanita dan ibu tunggal meluangkan masa bersosial bersama peserta lain, saling bertukar pendapat dan berkongsi kemahiran serta pengalaman.

Pada masa sama, memperluaskan dan membentuk jaringan dalam melaksanakan program transformasi komuniti.

3. Dimaklumkan, setiap program PACBE dijalankan berpandukan modul khas yang dibentuk dengan peredaran semasa dan kehendak pasaran. Apakah modul tersebut?

SAIDATU AKHMA: Secara asasnya, pelaksanaan PACBE dibahagikan pada tiga tonggak utama iaitu Community- Based-Enterprise (CBE), psikopendidikan (substantif) dan pengupayaan. Setiap bidang berkenaan mempunyai fungsi tersendiri bermula daripada peringkat ibu pejabat, peringkat daerah hingga ke peringkat negeri.

Misalnya CBE, ia merupakan aspek meningkatkan memfokuskan pada bidang kemahiran seperti masakan, jahitan, perusahaan spa, kraftangan dan kemahiran digital teknologi.

Sementara itu, psikopendidikan pula memberi tumpuan pada aspek pembangunan pendidikan sosial. Ia melibatkan pengurusan emosi, Anti Keganasan Terhadap Wanita (WAJA), pengetahuan undang-undang dan program Lay Kaunselor yang berperanan memberikan khidmat nasihat serta bimbingan kepada komuniti.

Menyentuh mengenai pengupayaan, bidang berkenaan menitikberatkan aspek keusahawanan, pemasaran dan literasi digital. Seperti yang kita sedia maklum, trend bisnes pada hari ini lebih cenderung menggunakan platform digital dalam menjual dan mempromosikan produk.

4. Bagaimanakah konsep operasi dan lokasi PACBE?

SAIDATU AKHMA: Istimewanya tentang PACBE, baik kelas mahupun bengkel yang dijalankan tidak statik di sesebuah premis seperti dewan serbaguna atau balai raya. Sebaliknya, ia berkonsepkan mobil yang mana kami akan membawa PACBE ke kawasan mengikut permintaan masyarakat setempat.

Bukan itu sahaja, pelaksanaan modul juga berbeza-beza dan bergantung pada kehendak peserta di lokasi terbabit.

Sebagai contoh, PACBE akan mengendalikan kelas kemahiran masakan di daerah Jasin, Melaka sekiranya majoriti penduduk memohon untuk belajar memasak atau menganjurkan bengkel menjahit jika itu yang dimahukan oleh komuniti dari Merbok, Alor Setar Kedah.

5. Direkodkan, bermula pada awal tahun ini hingga September lalu, PACBE berjaya menganjurkan sebanyak 573 program dan disertai 10,096 peserta di seluruh negara. Oleh itu, apakah perancangan JPW untuk program PACBE bagi tahun 2020?

SAIDATU AKHMA: Alhamdulillah. Melihat sambutan yang amat menggalakkan pada tahun ini, pada tahun 2020 pihak JPW merancang untuk memasarkan himpunan produk peserta di bawah jenama khas PACBE.

Selain itu, kami juga akan membantu menggerakkan dan mendorong peserta untuk terus komited dalam bidang keusahawanan supaya setiap kemahiran yang diperoleh di PACBE membuahkan hasil lumayan kelak.

ANEKDOT:

Pusat Cakna Bangun Ekonomi

- Terbuka kepada semua wanita dan ibu tunggal termasuk lelaki daripada pelbagai kaum.

- Tiada syarat atau kriteria tertentu untuk menyertai kelas PACBE.

- Kadar bayaran yuran adalah berbeza mengikut kategori kursus ditawarkan.

- Terdapat tiga peringkat iaitu kursus asas (tier 1), kursus kemahiran (tier 2) dan praktikal

(tier 3).

- Peserta yang berjaya menamatkan sehingga tier 3 akan mendapat bimbingan khas, sekali gus memperoleh Sjil Kemahiran Malaysia.

- Seterusnya, didaftarkan dalam program Anak Angkat Usahawan JPW dan dibantu sehingga produk dipasarkan.

-Maklumat lanjut, layari Facebook: @ppwn atau @jpw