Majikan mesti benarkan pekerja mengundi esok: SPR

Azhar Azizan harun
Azhar Azizan harun
A
A
A

PONTIAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan setiap majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk pergi mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk pergi mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Majikan boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun jika disabitkan kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 malam ini.

Sehubungan itu semua pihak mesti menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi sama ada di luar pusat mengundi serta saluran media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata SPR hari ini telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian yang akan dijalankan esok.

"Semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik. Peralatan ini diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Saluran Mengundi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 27 Pusat Mengundi dan 125 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dan 1,019 petugas akan bertugas bagi proses pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai.

"Seramai 52,471 pengundi bakal mengundi di PRK Parlimen Tanjung Piai esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan pergi mengundi," tambahnya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang. PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 September lepas.

PRK esok menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam mewakili Gerakan, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. - Bernama