X

Kindly register in order to view this article
!

TNB jamin tiada 'blackout'

A
A

PONTIAN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan tidak akan berlaku gangguan bekalan elektrik di pusat pengundian dan pusat penjumlahan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok.

Bagi tujuan itu, 10 set janakuasa bergerak (mobile genset) dan 12 janakuasa mudah alih disediakan supaya tidak berlaku gangguan bekalan elektrik.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata TNB menyediakan sembilan ‘mobile genset’ bagi 27 tempat mengundi dan satu mobile genset kekal ditempatkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini.

“Mobile genset ini mempunyai kapasiti sebanyak 1,000kVa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan dan mendengar taklimat persediaan TNB bagi pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai di Bilik Gerakan TNB Pontian, di sini hari ini.

Puah berkata, seramai 80 kakitangan TNB dari daerah Pontian dan Jasin, Melaka, ditugaskan bagi mengelakkan bekalan elektrik terputus.

Katanya, pihak TNB melakukan persediaan sejak hari penamaan calon PRK itu pada 2 November lepas.

"Kita tidak mahu berlakunya sebarang isu yang boleh dibangkitkan mana-mana pihak sebab apabila berlakunya ‘blackout’, maka banyak isu akan keluar.

"Oleh sebab itu, kita akan memastikan sistem bekalan elektrik itu mantap. Saya yakin dan memberi jaminan bahawa tiada apa-apa isu akan berlaku esok dan semuanya berjalan lancar," tambahnya.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Wendy Subramaniam daripada Gerakan serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK diadakan susulan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 September lepas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!