Lelaki menyamar ejen tarik kereta direman

Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini.
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki yang menyamar sebagai Ejen Pemilikan Semula (EPS) atau ejen tarik kereta menggunakan permit palsu direman selama dua hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Yusna Khadijah Md Yusop.

Terdahulu, pada Rabu lalu kira-kira jam 12.45 tengah hari semasa pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan sedang membuat pemantauan berkaitan kegiatan pemilikan semula kenderaan oleh pemegang kad EPS di tempat parkir Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah selatan mendapati suspek yang berusia 26 tahun memakai kad EPS di lehernya.

Semasa pegawai KPDNHEP memperkenalkan diri kepada suspek dan meminta kad EPS untuk diperiksa, suspek telah melarikan diri ketika pemeriksaan sedang dibuat.

Semalam, kira-kira jam 9 pagi, pegawai KPDNHEP berkenaan telah membuat semakan kad EPS tersebut dan mendapati kad itu adalah palsu.

Pada tarikh yang sama kira-kira jam 11 pagi, suspek telah hadir ke pejabat pegawai KPDNHEP untuk meminta semula kad tersebut bagaimanapun dia ditahan kerana disyaki menggunakan kad EPS palsu.

Suspek kemudiannya dibawa ke balai polis Seremban untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 419/468 Kanun Keseksaan.