Permohonan Ku Nan gantung prosiding kes LHDN didengar 7 Januari depan

Tengku Adnan
Tengku Adnan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menggantung prosiding kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya yang menuntut bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu membayar RM57.17 juta cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017, akan didengar pada 7 Jan tahun depan.

Tengku Adnan, yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO memohon untuk menggantung prosiding kes itu sementara rayuannya terhadap penilaian semula taksiran cukai kepada LHDN selesai.

Peguam Bahari Yeow Tien Hong yang mewakili Tengku Adnan memberitahu pemberita, tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar selepas pengurusan kes di dalam kamarnya hari ini, yang turut dihadiri Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus dan Norhisham Ahmad mewakili LHDN.

Bagaimanapun, Bahari berkata, pendengaran permohonan LHDN supaya kes saman itu diputuskan melalui penghakiman terus, tanpa melalui perbicaraan masih belum ditetapkan oleh mahkamah.

Penghakiman terus ialah di mana mahkamah memutuskan sesuatu kes didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Pada 4 November lepas, Tengku Adnan menarik balik permohonannya untuk membatalkan penghakiman terus yang dimohon LHDN.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai lepas selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Berdasarkan penyataan tuntutan, LHDN mendakwa, oleh kerana Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan itu dalam tempoh 30 harı dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Plaintif berkata, defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari, menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Ia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

-Bernama