Basikal lajak permata tersembunyi

A
A
A

PADA Mac 2018, penulis bertemu dua pegawai Biro Luar Negara Persekutuan Berbasikal Jepun (JCF) – Naoko Kaizuka dan Naito Sato di Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018. Ketika itu Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan dan penulis pula menjadi petugas sukarelawan.

Apa yang menarik perhatian penulis ialah Naoko bertanyakan tentang fenomena basikal lajak. Naoko bertanya adakah Malaysia mempunyai Pusat Basikal Lajak sama seperti Jepun yang memiliki Pusat Keirin.

Untuk pengetahuan semua, keirin ialah satu industri berbasikal komersial yang bernilai sekitar AS$4 bilion dolar setahun (kira-kira RM16.57 bilion). Pelumba keirin dianggap antara aset paling berharga di negara Matahari Terbit itu.

Naoko meneruskan perbualan dengan menyatakan tidak mustahil Malaysia akan melahirkan lima atau enam pelumba bertaraf dunia seperti Awang (merujuk kepada Mohd Azizulhasni Awang yang muncul juara dunia acara keirin di Kejohanan Trek Sedunia 2017 di Hong Kong, China). Bagaimanapun, Naoko tampak begitu terkejut apabila dimaklumkan basikal lajak ialah satu masalah yang kritikal di Malaysia.

Beliau bertanya kenapa pihak berkuasa di Malaysia termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) tidak menangani masalah remaja yang terlibat dalam gejala basikal lajak. Menurut Naoko, basikal lajak sama seperti BMX yang menjadi teras asas dalam pembentukan skil tunggangan sekiranya seseorang mahu berjaya dalam acara trek. Naoko menegaskan Sir Chris Hoy berjaya kerana beliau mengasah skil awalnya dalam sukan BMX.

Naoko bertanya adakah pakar kejuruteraan sukan di Malaysia terlibat dalam persoalan basikal lajak. Penulis dimaklumkan dunia basikal banyak melibatkan aspek kejuruteraan seperti ergonomi, kejuruteraan manusia dan biomekanik. Di Jepun, menurut Naoko, semua pelajar berminat menjadi pelumba keirin diasah dengan disiplin yang sangat ketat dan tanpa sebarang kompromi.

Perbezaan

Di sinilah wujud perbezaan bagaimana Jepun dan Malaysia menangani persoalan bakat melibatkan remaja. Masih segar di ingatan penulis empat tahun lalu pernah menghasilkan kertas kerja cadangan cara bagaimana menangani masalah basikal lajak.

Kini, isu berkaitan basikal telah membuka mata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Mungkin cadangan Naoko agar Malaysia membuka Pusat Basikal Lajak Malaysia boleh jadi kenyataan. Semua remaja yang terlibat dalam basikal lajak mempunyai kreativiti unik kerana berupaya mengubahsuai tanpa latar belakang pendidikan berkaitan kejuruteraan biomekanik atau ergonomi.

Artikel Berkaitan:

ALLAH sebenarnya telah membayangkan masalah basikal lajak ini dalam Surah Ali ‘Imran [3:54] maksudnya, “Dan mereka (orang-orang kafir) merancang (tipu daya), (tetapi) ALLAH juga merancang (membalas tipu daya), dan ALLAH adalah sebaik-baik Perancang (membalas tipu daya).”

ALLAH menjelaskan kelebihan dan kemahiran merancang dalam Surah As-Sajdah [32:4-5] bermaksud, “ALLAH-lah yang menciptakan langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'arsy. Tidak ada bagi kamu selain daripada-Nya seorang penolong pun dan tidak (pula) seorang pemberi syafaat. Maka apakah kamu tidak memperhatikan? Dia mengatur urusan dari alam semesta ini, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) ialah 1,000 tahun menurut perhitunganmu.”

Penulis percaya pihak berkuasa harus menangani permasalahan basikal lajak dengan menggunakan aspek pendidikan. Pendidikan membantu pertumbuhan sahsiah dan menyemai serta mengekalkan jati diri seseorang individu. Pendidikan ialah teras kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara. Tanpa pendidikan, masyarakat akan hidup dalam kemunduran sekali gus menyebabkan keruntuhan moral secara berleluasa

ALLAH menyarankan kepentingan pendidikan dalam Surah Al-Alaq [96: 1-5] maksudnya, “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Selain itu, permasalahan basikal lajak harus dikaitkan dengan asas pembinaan manusia dan kekuatan akidah. Ini berdasarkan Surah Al-A'raaf [7:172] bermaksud, “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari (tulang) belakang mereka dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”, Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid ini)”.

Ketika ini, basikal lajak dikuasai golongan remaja yang sepatutnya dibimbing bukannya dihukum. Mungkin mereka boleh dibentuk untuk menjadi pelumba bertaraf dunia seperti Mohd Azizulhasni atau pakar kejuruteraan manusia, biomekanik dan ergonomi.

Penulis mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan mewujudkan Pusat Basikal Lajak Negara untuk mengenal pasti dan mengasah bakat remaja agar menjadi permata yang berkilau pada masa akan datang.

* Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor