712 kemalangan di Sarawak ketika Ops Hari Krismas

A
A

KUCHING - Sebanyak 712 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak sepanjang 15 hari Op Selamat Sempena Hari Krismas 2018, bermula pada 18 Disember lalu.

Polis Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus atau 13 kes berbanding operasi yang sama pada 2017 dengan mencatat 699 kes.

“Dari segi kes kemalangan maut, jumlah sama dicatatkan sebanyak 13 kes. Jumlah kematian pula menurun dua kes bersamaan 11.8 peratus atau 17 kes pada 2017 berbanding hanya 15 kes dalam tempoh sama tahun lepas,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, bagi kecederaan melibatkan pengguna jalan raya, penunggang dan pembonceng motosikal merupakan golongan paling ramai terkorban akibat kemalangan jalan raya di seluruh negeri ini, semasa operasi tersebut.

Kenyataan itu menyebut tujuh pengguna jalan raya atau 46.7 peratus adalah penunggang dan pembonceng motosikal daripada jumlah keseluruhan 15 orang terkorban sepanjang tempoh operasi berkenaan.

Punca kematian dalam kemalangan maut itu akibat sikap pemandu melakukan kesalahan memotong kenderaan lain dalam keadaan tidak selamat, keluar simpang tanpa memberi isyarat dan memandu kenderaan dengan laju serta tidak mematuhi had laju dibenarkan, kata kenyataan itu.- Bernama