[VIDEO] Orang gila bantu beri laluan kepada ambulans

Paparan Twitter @giewahyudi tular di laman sosial.
A
A

JAKARTA - Siapa sangka orang kurang waras mempunyai sifat prihatin yang tinggi apabila membantu mengawal lalu lintas bagi memberi laluan kepada ambulans.

Video dikongsi oleh pelayar @giewahyudi di Twitter memaparkan suasana aliran trafik sesak dan secara tiba-tiba datang seorang lelaki hanya memakai seluar panjang tanpa baju mengarahkan beberapa kenderaan ke tepi bagi melancarkan aliran trafik di Jalan Polda Metro Jaya, Jakarta, Khamis lalu.

Lelaki itu dengan rambut tidak terurus berlari ke sebuah kenderaan di hadapan ambulans untuk memberi laluan kepada ambulans yang membawa pesakit dan perlu dikejarkan ke hospital dalam kadar segera.

Kata @giewahyudi, lelaki itu mengalami gangguan jiwa malah lebih memahami ambulans perlu diutamakan di jalan raya.

"Orang dengan gangguan jiwa lebih faham kalau ambulans harus didahulukan. Jadi yang waras siapa, yang gila siapa?" ciapnya sebelum tular di laman sosial.

Rakaman video berdurasi 19 saat itu meraih lebih 900,000 tontonan daripada netizen.

Rata-ratanya sangat kagum dan memuji tindakan lelaki tersebut walaupun dia hanyalah insan yang kurang waras.

"Yang terganggu jiwanya, hati nuraninya tetap sihat. Godbless you, Pak," ciap @noturtypicalgirl.

Tambah @bunga_maria, "Terima kasih pak, kamu berjaya menyelamatkan satu nyawa hari ini. Kamu masih punya kasih dalam hatimu," ciapnya.

Kata, @taurin, "Belum tentu orang waras, boleh lakukan seperti mana lelaki tersebut lakukan."