Bunuh pelajar tahfiz: Dua remaja bawah umur dihadapkan hari ini

Kedua-dua tertuduh yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.
A
A

TEMERLOH - Dua remaja bawah umur dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar pusat tahfiz di Kuala Kaung, Lanchang pada 7 November lalu.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 13 tahun itu memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ti Pei Si.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Iffa Izzatie Mutalib manakala prosiding dijalankan secara tertutup dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Mohammad Aimin Nurul Amin, 7 di dalam asrama Madrasah Maahad Tahfiz Nahfah Syubban Addiniyah, Kampung Kuala Kaung, Lanchang.

Kedua-dua tertuduh yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.
Kedua-dua tertuduh yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.

Kejadian berlaku di antara jam 11 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 7 November lalu.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama Seksyen 34 KK yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pei Si kemudiannya menetapkan sebutan semula pada 19 Disember depan bagi laporan perubatan dan lantikan peguam.

Kedua ibu bapa tertuduh turut hadir di mahkamah.

Pada 8 November lalu negara dikejutkan dengan kematian Mohammad Aimin yang juga pelajar termuda di tahfiz terbabit selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bermaya oleh warden pusat tersebut.

Hasil bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat trauma pada dada dan abdomen oleh permukaan atau objek tumpul.

ARTIKEL BERKAITAN:

Reman tiga pelajar tahfiz dilanjutkan hingga 20 November